SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah menegaskan agar pegawai dalam Kor Gerak Khas tidak berpolitik untuk mendapatkan pangkat atau jawatan tertentu dalam pasukan berkenaan.
Titah baginda, baginda sendiri akan meneliti segala urusan kenaikan pangkat serta penempatan pegawai yang terlibat.
“Saya harap selepas ini, pihak Panglima Tentera Darat dan Panglima Gerak Khas jangan pandai-pandai buat keputusan kenaikan pangkat tanpa merujuk kepada saya dahulu.
“Penilaian akan dibuat mengikut merit dan bersandarkan kepada latar belakang serta prestasi pegawai berkenaan. Saya tidak mahu ada unsur pilih kasih atau mengikut kem tertentu.
“Suka juga saya ingatkan bahawa segala perjawatan dan pangkat yang telah diperuntukkan kepada Gerak Khas tidak boleh diberikan atau dipinjamkan kepada Kor lain,” titah baginda yang juga Kolonel Komandan GGK.
Sultan Ibrahim menyuarakan perkara itu bagi mengukuhkan Kor Gerak Khas dengan berpendapat perancangan sumber manusia yang lebih tersusun perlu dibuat supaya pegawai pelapis berkualiti dapat dihasilkan secara berterusan.
Baginda bertitah demikian ketika berangkat menyempurnakan Sambutan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-57 di Padang Kawad Markas 21, GGK, Kem Iskandar di sini, hari ini.
Turut berangkat ke majlis itu, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.
Sementara itu, Sultan Ibrahim bertitah menegaskan supaya tidak ada pihak yang memandang pasukan GGK sebelah mata.
“Jika ada pihak yang membelakangkan saya, maka saya rasa tidak perlu lagi untuk saya terus menjadi Kolonel Komandan Rejimen Gerak Khas,” titah baginda.
Leave a Reply