SEORANG pemimpin Pas tidak senang apabila Tun Dr.Mahathir Mohamad menubuhkan Gerakan Tanah Air (GTA) yang disertai oleh beberapa parti kecil mewakili orang Melayu. Beliau kecewa kerana usaha penyatuan ummah bukannya semakin rapat tetapi bertambah rengang..

Namun bagi penulis, pemimpin tersebut tidak perlu kecewa sangat, apatah lagi berasa sedih. Adalah lebih baik jika beliau mengkaji semula tingkah laku segelintir pemimpin Pas yang seolah-olah mempunyai tafsiran tersendiri berhubung penyatuan ummah.

Ia memandangkan pemimpin parti itu masih bertegas mahu mempertahankan Muafakat Nasional (MN) yang melibatkan kerjasama Pas dengan UMNO. Pada masa sama, mereka tidak bersungguh-sungguh mahukan parti Bersatu turut menyertainya.

Bagi kelompok pemimpin berkenaan, penyatuan ummah hanya akan berlaku jika UMNO dan Pas bergabung, soalnya apakah itu boleh dipanggil penyatuan kalau masih ada kelompok parti Melayu dipinggirkan?

Kalau betul-betul mahu menyatukan ummah, ia bukan berkisar soal UMNO dan Pas sahaja, malah semua parti Melayu harus dirangkul bersama. Tetapi malangnya, penyatuan ummah yang diuar-uarkan atau ditekankan oleh segelintir pemimpin Pas lebih bermotif politik.

Mereka beria-ia mahu mengukuhkan kembali Muafakat Nasional yang kini bagaimana ‘telur di hujung tanduk’ sehingga membiarkan maruah Pas sebagai salah sebuah parti terbesar orang Melayu serta dipimpin oleh ulama diperlekehkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO.

Atas sebab itulah Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi tanpa mempedulikan perasaan Pas dengan tegas berkata, ‘’Kalau nak jalin sebarang bentuk kerjasama, jalin selepas keputusan PRU-15…sekarang ini kita turut ke gelanggang dan adu kekuatan..kekuatan dari segi pengaruh pengundi-pengundi.’’

Itu mesej jelas daripada UMNO bahawa parti itu kekal bergerak solo dalam PRU dan seperti ditegaskan oleh Zahid, ‘’keputusan solo adalah keputusan  rasmi’’!

Jadi apa lagi yang Pas tunggu dan harapkan. Janganlah jadi seperti ‘pungguk rindukan bulan’, ‘hidung tak mAncung pipi tersorong-sorong’ sehingga akhirnya dilayan bagaikan ‘melukut di tepi gantang’ semata-mata mahu mengharapkan ehsan UMNO untuk bekerjasama dalam Muafakat nasional.

Sepatutnya Pas sudah boleh melupakan Muafakat Nasional, sebaliknya secara jujur dan ikhlas tumpukan perhatian untuk memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu. Pemimpin-pemimpin Bersatu tidak pernah memperlekehkan atau memperkecilkan Pas. Pemimpin Bersatu tidak pernah bertindak di depan cakap lain, di belakang cakap lain.

Tetapi pemimpin UMNO sudah terbukti pernah berbuat demikian apabila secara diam-diam mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ketika bersama Muafakat Nasional.

Sebab itulah, penulis hairan, kenapa segelintir pemimpin Pas masih menaruh harapan untuk bekerjasama dengan UMNO dalam PRU. Tidak payahlah bercakap soal kononnya demi penyatuan ummah, kalau betul untuk penyatuan ummah kenapa tumpuan hanya diberikan kepada UMNO?

Tidak perlulah berdolak dalik! Terus teranglah…sebenarnya penyatuan ummah yang dicanangkan bermotifkan politik. Mereka semakin terhakis keyakinan bahawa Pas ada kekuatan sendiri justeru ‘tunduk’ kepada UMNO bagi meraih kuasa politik.

Paling penting Pas bukannya parti picisan. Pas sudah menguasai Kedah, Kelantan dan Terengganu. Pas sudah berada dalam kerajaan pusat, malah dari segi kerusi Parlimenpun ada kekuatan sendiri. Parti itu juga mempunyai ahli dan penyokong yang setia serta istiqomah dalam memastikan ia terus kukuh dalam persada politik tanah air.

Tetapi malangnya keyakinan itu seolah-olah terhakis dalam kalangan segelintir Pas yang ‘begitu taksub’ bercakap soal penyatuan ummah bermotifkan politik iaitu ‘terhengeh-hengeh’ mengharapkan belas ehsan UMNO untuk bersama mereka dalam pilihan raya.

Akibat sikap itulah, ia memungkinkan imej Pas semakin tercalar. Keangkuhan yang ditunjukkan oleh UMNO dan pemimpinnya yang pandang sebelah mata terhadap Pas ketika pemimpin Pas masih mengharapkan bekerjasama dengan UMNO telah menyebabkan Pas dilihat kemaruk kuasa!

Mereka mahu bekerjasama dengan UMNO kerana mendambakan kuasa politik, mereka percaya dengan bergabung bersama UMNO, peluang untuk menang lebih banyak kerusi yang lebih cerah, persoalannya adakah benar begitu?

UMNO ketika ini merasakan mereka sudah cukup kuat dan  begitu yakin tanpa Pas pun mereka boleh menang besar dalam PRU-15 nanti. Dalam keadaan sentimen seumpama itulah menyebabkan mereka tidak melayan rintihan Pas untuk kembali  memperkukuhkan Muafakat Nasional.

Namun segelintir Pas masih tidak faham atau buat-buat tidak faham kerana mereka tidak ada keyakinan bahawa bergabung dalam Perikatan Nasional akan memberi kemenangan besar kepada mereka.

Kalau begitu janganlah memeningkan pengundi khususnya orang Melayu apabila bersama Perikatan Nasional tetapi pada masa ‘mengemis’ untuk bekerjasama dengan UMNO yang semua orang tahu menolak Bersatu secara total.

Dengan kepemimpinan sedia ada dalam UMNO agak mustahil untuk mengharapkan parti itu sedia bekerjasama dengan Bersatu. Walaupun UMNO tahu jika mereka bergabung bersama Pas dan Bersatu, kuasa politik Melayu akan bertambah kukuh sekaligus akan menyebabkan pengundi bukan Melayu memberikan sokongan kepada gabungan itu, UMNO tidak peduli.

UMNO sudah dibuai dengan khayalan kemenangan besar menanti di depan mata biarpun bergerak secara solo. Justeru segelintir pemimpin Pas tidak harus merendahkan martabat parti itu dengan masih menagih simpati UMNO untuk kembali dalam Muafakat Nasional.

Adalah lebih baik jika Pas berusaha memperkuatkan Perikatan Nasional bersama Bersatu. Secara logiknya, Pas lebih mudah berunding dengan Bersatu dari segi pembahagian kerusi berbanding dengan UMNO. Adakah pemimpin Pas yakin UMNO akan memberikan kerusi yang mereka inginkan untuk bertarung dalam PRU-15? Malah pemimpin Bersatu termasuk Muhyiddin Yassin tidak pernah membuat kenyataan merendah-rendahkan, apatah lagi memperlekehkan ulama Pas.

Atas sebab itulah pada pandangan penulis, adalah wajar segelintir Pas menghentikan ‘memperalatkan’ laungan penyatuan ummah dalam mencapai cita-cita politik mereka. Jangan sampai yang dikejar tak dapat dikendong berciciran.

Paling malang, jika tingkah laku segelintir Pas itu terhadap PN dan Bersatu menyebabkan parti tersebut dianggap mengamalkan politik, ‘lepas madu sepah dibuang’ dan menyatukan ummah sekadar retorik demi meraih kuasa politik.

Lebih baik Pas menghormati dan menjaga maruah lambang ‘bulannya’, daripada menjadi ‘pungguk rindukan bulan’.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here