SEORANG penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah hari ini atas dua pertuduhan memiliki dadah ketika berada dalam tahanan lokap Mahkamah Rembau, bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Ikraam C. Mansor, 30, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norma Ismail selepas kertas pertuduhan dibacakan, lpaor Sinar Harian.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 54.47 gram ketika berada di lokap Mahkamah Rembau kira-kira jam 11 pagi pada 26 Julai lalu.
Berikutan itu tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan sebat tidak kurang daripada 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis heroin dengan berat 3.97 gram pada tarikh, masa dan lokasi yang sama.
Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (234) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (1) akta sama, sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun serta sebat tidak kurang tiga sebatan dan tidak lebih sembilan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh dan sebutan semula kes ditetapkan pada 27 September depan.
Leave a Reply