SEORANG pemimpin Bersatu menafikan laporan mendakwa Perikatan Nasional (PN) akan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob selepas enggan melantik Timbalan Perdana Menteri daripada parti itu.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr. Muhammad Faiz Na’aman menolak laporan The Star sebagai ‘tidak betul’ dan ‘provokatif,’ sambil menegaskan partinya akan terus menyokong kepimpinan Ismail.
“Majlis Pimpinan Tertinggi tidak pernah membuat keputusan itu,” katanya ringkas kepada FMT.
Terdahulu, Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan, mendedahkan Ismail membatalkan pertemuan dengan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, pada saat-saat akhir.
Pertemuan itu yang dijadual semalam, dimaklumkan berhubung perjanjian ditandatangani antara PN dan naib Presiden UMNO itu sebelum pelantikan Ismail sebagai perdana menteri.
Wan Saiful menyatakan kekecewaannya berhubung pembatalan pertemuan itu dengan berkata, Bersatu hanya mahu Perdana Menteri ‘menghormati PN sebagai mana beliau menghormati Pakatan Harapan’.
Pada 28 Julai, PN mengutarakan kekecewaan terhadap Ismail susulan kegagalan memenuhi janji dibuat kepada gabungan berkenaan.
Menurut terma perjanjian yang bocor, jawatan Timbalan Perdana Menteri dijanji diberikan kepada parti teras PN, Bersatu.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menafikan kewujudan perjanjian diperkatakan itu antara PN dan Ismail, namun setiausaha agungnya, Takiyuddin Hassan, kemudian mengakui mendraf ‘memorandum persefahaman’ antara dua pihak berkenaan, pada Ogos 2021.
Menurut The Star, hari ini, laporan itu menyatakan kepimpinan PN kecewa dengan Ismail dan ‘hilang sabar’ selepas pertemuan antara Perdana Menteri dan Hamzah dibatalkan.
Memetik pimpinan PN Sabah, laporan itu menyebut bahawa pilihan untuk menarik sokongan terhadap Ismail dibincangkan dalam mesyuarat gabungan itu, minggu lalu.
Bagaimanapun, pemimpin itu berkata, ia akan menjadi langkah terakhir sekiranya perdana menteri berterusan tidak mahu menunaikan janjinya dengan PN.
Leave a Reply