POLIS sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung dakwaannya bahawa tiga anggota polis meminta wang RM300 daripadanya dalam kejadian berhampiran sebuah pusat beli-belah terkemuka di Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizan Abdul Shukor berkata, aduan individu itu dimuatnaik menerusi hantaran media sosial bertulisan Cina, semalam.
Mengikut hantaran itu, seorang lelaki ditahan tiga anggota polis yang membuat rondaan berhampiran kawasan pusat beli-belah berkenaan.
Anggota berkenaan kemudiannya membuat semakan terhadap telefon bimbit lelaki terbabit sebelum menemui satu aplikasi membeli nombor ekor dan mendapati individu berkenaan memenangi RM4,300.
“Anggota rondaan tersebut didakwa didakwa meminta wang RM100 untuk setiap seorang daripada individu berkenaan.
“Setelah beredar, lelaki berkenaan tidak berpuas hati lalu memuat naik hantaran mengenai kejadian itu di media sosial,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Amihizam berkata, usaha mengesan serta mengambil keterangan lelaki terbabit sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan.
Menurutnya, polis menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada serta segera melaporkan kegiatan penyalahgunaan kuasa oleh anggota polis di balai polis berhampiran.
“Pihak polis tidak menjalankan pemeriksaan terhadap telefon bimbit di jalanan kecuali untuk tujuan siasatan,” jelasnya.
Beliau menambah, sebarang maklumat boleh disalurkan ke Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Leave a Reply