Warga emas maut jatuh tingkat 4 pusat beli-belah

SEORANG lelaki warga emas ditemui maut dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah pusat beli-belah di Alor Setar, hari ini.

Mangsa berusia 65 tahun yang juga pemegang kad rawatan psikiatri ditemui dalam keadaan berlumuran darah dekat ruang legar pusat beli-belah akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri berkata, kejadian dipercayai berlaku antara pukul 10 hingga 10.30 pagi.

“Maklumat awal mendapati pengawal keselamatan sebelum itu telah melihat mangsa dalam keadaan mencurigakan di tingkat empat bangunan tersebut.

“Pengawal keselamatan terbabit cuba membantu tapi tidak sempat apabila lelaki itu terjun.

“Setakat ini siasatan awal polis menjurus kepada mati mengejut tetapi bergantung pada hasil bedah siasat terhadap mayat berkenaan,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Superintendan Mohd. Naim Asnawi turut hadir ke lokasi.

Mengulas lanjut, Ahmad Shukir berkata hasil soal siasat terhadap keluarga mangsa mendapati mangsa mempunyai kad rawatan psikiatri Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) .

Difahamkan, mangsa baru selesai menjalani rawatan susulan pada Isnin lalu.

“Dia yang tidak berkahwin dikatakan sering datang ke lokasi kejadian seorang diri. Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HSB untuk proses bedah siasat,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *