DUA lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Chukai, hari ini kerana memiliki 6,365 karton dan empat paket rokok seludup pelbagai jenama, tahun lalu.
Tertuduh, Tan Kim Yee, 27, dan Wang Kang Chien, 26, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.
Harian Metro melaporkan, mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama memiliki pelbagai jenama rokok seludup yang ditaksirkan bernilai RM123,541.60 di sebuah premis kediaman di daerah Kemaman, pukul 4.15 petang pada 30 November 2021.
Semua rokok itu adalah barang yang dilarang pengimportannya di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.
Kedua-dua tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Mereka bakal berdepan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 yang mana nilai lebih tinggi dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana nilai lebih tinggi atau boleh dipenjarakan tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan 11 September depan sebagai tarikh sebutan semula dan membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM10,000 setiap seorang.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu, Md Safrizal Mohd Safian, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Abdul Rahman Ab. Razak.
Leave a Reply