Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT
SEORANG Pengarah Yayasan Kemajuan India Wilayah Persekutuan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas 11 pertuduhan menyalahgunakan harta yayasan tersebut berjumlah RM86,000 tahun lalu.
Tertuduh, M. Govindarajoo, 65, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa secara curang menyalahgunakan harta iaitu wang berjumlah RM86,000 kepunyaan yayasan itu di Maybank Berhad cawangan Taman Inderawasih, Seberang Perai Tengah (SPT), Pulau Pinang pada 25 dan 26 Ogos 2021.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun atau sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding sama, Govindarajoo turut mengaku tidak bersalah atas 11 pertuduhan pilihan melibatkan kesalahan yang dilakukan di tarikh, tempat dan masa yang sama.
Bagi kesalahan iti, dia didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Afif Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam pada itu, mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM22,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 1 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Leave a Reply