Tiada rekod jenayah, hukuman penjara di bawah undang-undang kawalan tembakau,rokok

TIADA rekod jenayah mahupun hukuman penjara terhadap individu dalam kalangan Generasi Penamat (GEG) sekiranya mereka melakukan kesalahan berdasarkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.

Jelas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, melalui satu video di laman Twitternya, beliau berkata hukumannya masih sama seperti peraturan sedia ada iaitu kompaun maksimum RM50.

“Kepada golongan GEG yang melakukan kesalahan nanti, kita hanya akan kenakan kompaun maksimum sebanyak RM50 seperti yang kita laksanakan di bawah peraturan sedia ada, dan pesalah boleh memohon untuk potongan diskaun.

“Keslaahan yang melibatkan generasi akan datang di bawah RUU ini adalah bukan suatu kesalahan boleh daftar di bawah Akta Pendaftaran Penjenayah Dan Orang Yang Tidak Diingini 1969 (Akta 7), oleh itu tidak berbangkit isu rekod kesalahan yang melibatkan golongan GEG,” katanya, lapor Astro AWANI.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, pelaksanaan GEG tidak akan menyumbang kepada pertambahan lambakan rokok tidak sah.

Sebaliknya, ia akan membantu mengurangkan permintaan kepada bekalan produk rokok ini susulan penurunan peratus perokok dalam kalangan GEG.

Tegasnya, kerajaan sedang menangani isu lambakan rokok tidak sah kerana sekiranya tidak dibendung ia akan terus meningkatkan peratus perokok secara keseluruhan.

KKM juga jelasnya akan terus bekerjasama dengan kementerian serta agensi lain bagi memastikan masalah rokok tidak sah ini dibendung.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *