YANG Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun menyifatkan Tan Sri Muhyiddin Yaasin sebagai seorang reformis yang banyak usaha pembaharuannya, ramai memilih untuk tidak melihat atau ‘di terlepas pandang’.
Berucap ketika merasmikan buku biografi bertajuk “Muhyiddin Yassin: Leading a Nation in Unprecedented Crisis” beliau berkata, ini termasuk kejayaan menangani pandemik Covid-19 yang turut cuba ‘di terlepas pandang’ banyak pihak.
Menurut Azhar, Muhyiddin mengambil alih tugas Perdana Menteri ketika dunia berdepan ancaman musuh yang tidak diketahui tetapi mampu menggugat ekonomi, menggoncang sistem politik dan mengancam kemanusiaan.
Di dalam negara pula katanya, Muhyiddin berdepan situasi ketegangan politik yang tidak pernah dilihat dalam sejarah negara.
“Bagaimanapun di sebalik semua itu, inisiatif pertama Tan Sri ialah melihat nasib dan kebajikan rakyat serta kelompok rakyat yang benar-benar memerlukan bantuan.
“Pemimpin hebat membuat keputusan tepat, bukan populis. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) segera diperkenalkan walaupun ia bukan langkah popular kerana apa yang penting kesihatan dan kebajikan rakyat diutamakan dahulu.
“Apa yang kita nikmati hari ini dalam kejayaan menangani pandemik Covid-19 adalah hasil daripada benih yang disemai Tan Sri Muhyiddin dan sekali lagi kita melihat usaha-usaha ini sengaja ‘di terlepas pandang’,” katanya yang menambah di sebalik semua itu Muhyiddin tidak pernah mendabik dada atau mengangkat namanya.
Di sudut lain, Azhar seterusnya menceritakan, semasa menjadi Menteri Dalam Negeri pada era pentadbiran Pakatan Harapan, Muhyiddin banyak memulakan usaha untuk mereformasi undang-undang yang disifatkan sebagai tidak sesuai.
Ini termasuk Akta Hasutan, SOSMA, Akta Pencegahan Jenayah.
“Satu jawatankuasa peringkat tinggi ditubuhkan. Saya tahu sebab saya duduk dalam jawatan kuasa berkenaan bersama Hakim Mah Weng Kwai, aktivis hak asasi lain dan ahli akademik.
“Kami berjumpa banyak kali melihat secara halus banyak perkara berkaitan undang-undang dan mendengar daripada pelbagai rakan taruh berkepentingan,” katanya.
Bagaimanapun, ujar Azhar, di sebalik semua kejayaan itu semua tahu apa kejadian yang berlaku selepas itu dan puncanya.
“Sikapnya berpegang teguh dengan prinsip yang dipegangnya melahirkan ramai penentang malah musuh. Tan Sri boleh sahaja berada pada kedudukan dahulu dengan menggadaikan prinsip, namun dia tidak melakukan. Sebaliknya memilih meletak jawatan dengan terhormat,” ujarnya.
Dalam ucapan itu Azhar turut menyorot kembali saat kepulangan Muhyiddin selepas digugurkan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan disingkirkan daripada UMNO pada 2016 dan kepulangannya selepas kejayaan dengan membina Parti Pribumi Bersatu Malaysia dari awal untuk menentang parti pemerintah dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
“Ia seperti kisah moden David dan Goliath,” katanya.
Leave a Reply