Gadis Melayu dipelihara guru Cina, dapat tawaran ke UTeM

GADIS yang kisahnya tular kerana ditinggalkan ibu tanpa kerakyatan ketika masih bayi, bakal mencapai cita-citanya untuk melanjutkan pengajian tinggi selepas menerima tawaran mengikuti pengajian Diploma Sains Komputer daripada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) hari ini.

Rohana, 22, menerima tawaran itu setelah mendapat taraf kewarganegaraan dan kad pengenalan pada April lepas apabila kisah hidupnya tular menerusi media sosial sehingga mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Rohana yang dijaga seorang bekas guru berbangsa Cina, Chee Hoi Lan, berkata beliau amat bersyukur atas peluang yang diberi dan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang agar dapat menyumbang semula kepada masyarakat setempat.

“Saya tidak tahu bagaimana hendak ucap terima kasih, sangat bersyukur dengan hadiah yang dikurniakan Allah kerana ini memang satu perkara yang saya impikan sejak lama.

“Terima kasih juga kepada pihak UTEM. Walaupun saya lebih meminati bidang perubatan, Sains Komputer ini adalah bidang pilihan kedua saya dan ‘laoshi’ (Chee) juga menyokongnya. Jadi, saya akan lakukan yang terbaik untuk membalas jasanya,” katanya yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ibrahim Yaakob, Kampung Batu.

Rohana ditemui pemberita selepas menerima surat tawaran pengajian berkenaan daripada Naib Canselor UTeM Prof Dr Massila Kamalrudin di kediaman Chee di Batu 5, Jalan Ipoh di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Rohana, dia akan bertolak bersama Chee ke Melaka esok kerana pendaftaran kemasukan ke program UTeM itu adalah pada Isnin.

Katanya dia masih melakukan beberapa persiapan kerana hanya dimaklumkan mengenai tawaran itu pada Sabtu lepas sebelum disahkan hari ini.

“Ada beberapa barangan keperluan belum dibeli dan saya juga sedang mencari pembantu rumah yang dapat menjaga laoshi (Chee) sepanjang ketiadaan saya.

“Kebelakangan ini dia (Chee) sering menangis apabila mengenangkan kami akan berjauhan jadi adalah lebih elok sekiranya ada orang temankan dia sekali-sekala di rumah sementara menunggu kepulangan saya pada hujung minggu,” katanya.

Sementara itu, Chee berkata ini adalah kali pertama dia akan berjauhan dengan Rohana dan berharap gadis itu dapat menjaga dirinya dengan baik sepanjang pengajian.

“Saya harap dia (Rohana) tidak lupakan saya. Kalau ada masa terluang baliklah sini tengok (jenguk) saya. Apabila habis belajar nanti, saya harap dia boleh jadi pakar Internet (teknologi maklumat),” katanya.

Dalam pada itu, Massila berkata Rohana adalah antara tiga individu yang terpilih untuk mengikuti projek rintis Program Anak Emas UTeM yang baru dimulakan.

Massila berkata program itu memberi peluang kepada pelajar cemerlang daripada keluarga tidak bernasib baik untuk melanjutkan pengajian di UTeM, dengan kos pembiayaan ditanggung sepenuhnya oleh Yayasan Tun Canselor.

“Rohana adalah pelajar pertama bagi program ini. Dia menepati ciri-ciri yang dimahukan iaitu dari golongan yang memerlukan seperti anak tunggal dan B40 dan mempunyai keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang,” katanya.

Kisah Rohana sebelum ini tular kerana dibesarkan oleh Chee sejak berusia dua bulan selepas ditinggalkan ibu kandungnya ke Indonesia.

Ketiadaan kad pengenalan dan dokumen pengenalan diri menyebabkan kehidupan Rohana menjadi sukar dan tidak dapat menyambung pengajian ke universiti, sebelum isu mengenainya mendapat perhatian perdana menteri.- Bernama


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *