DUA penari cedera apabila skrin ‘light-emitting diode’ (LED) bersaiz besar digantung pada kerangka di siling pentas, jatuh, lalu menghempap mereka pada persembahan kumpulan Mirror di Hong Kong Coliseum di Hong Kong, malam tadi.
Rakaman video yang tersebar memaparkan anggota band Cantopop itu, Anson Lo dan Edan Lui sedang beraksi dengan sekumpulan penari apabila skrin LED, tiba-tiba jatuh lalu menghempap dua penari.
Mengikut rakaman video itu, skrin LED menghempap salah seorang penari lalu terkena kepala dan tubuhnya, sebelum melantun kepada seorang lagi penari. Penonton dilihat menjerit ketakutan melihat kejadian yang tidak disangka-sangka itu
Menurut Satu Berita yang memetik laporan The Guardian.com, melalui rakaman video itu juga, semua penari dilihat membantu menyelamatkan dua mangsa terbabit.
Persembahan di Hong Kong Coliseum itu adalah pertunjukan keempat daripada 12 siri konsert Mirror di bandaraya itu.
Polis Hong Kong menerima laporan pada pukul 10.36 malam dan kedua-dua penari terbabit yang masih dalam keadaan sedar, dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth untuk diberi rawatan.
Menurut polis, selain dua penari terbabit, tiga lagi penonton wanita dilaporkan cedera akibat kejadian itu.
Seorang daripada mereka dihantar ke hospital sama manakala dua wanita lain, dilaporkan terkejut tetapi tidak memerlukan rawatan.
Berikutan insiden itu, konsert berkenaan ditamatkan dan penonton diminta meninggalkan Hong Kong Coliseum.
Sejurus insiden berlaku, peminat menggerakkan petisyen dalam talian menggesa penganjur konsert memastikan keselamatan anggota Mirror dan penari mereka.
Peminat menggesa penganjur konsert mengelak daripada menggunakan ‘props’ atau platform yang dianggap tidak perlu demi keselamatan semua pihak.
Setakat ini, petisyen berkenaan disokong lebih 13,000 peminat Mirror.
Sementara itu, syarikat pengurusan Mirror, Viu, tidak membalas soalan yang dilayang melalui e-mel bagi mengulas insiden itu.
Sebelum ini, melalui perkongsian video di media sosial, salah seorang anggota Mirror, Frankie Lui terjatuh di pentas ketika berucap di pentas, pada persembahan, Selasa lalu.
Kumpulan Mirror yang dianggotai 12 jejaka, mencetuskan fenomena dengan revival genre muzik Cantopop di Hong Kong.
Leave a Reply