Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SEORANG ibu terkilan dan kecewa selepas anak lelakinya yang berstatus autisme dipercayai didera di sebuah pusat terapi berbayar dalam sebuah universiti awam di Skudai, Johor Bahru, pada 17 Julai lalu.
Nik Huzaiwati Husin, 33, iaitu ibu kepada kanak-kanak tersebut, Tuan Muhammad Uwais Abrisam, 6, pada mulanya tidak curiga dengan kesan lebam dan cedera dialami anakanya setiap kali pulang dari pusat terapi itu.
Suri rumah dari Pulai Sri Perdana, Kulai itu mula menghantar anak sulungnya itu yang menghidap didiagnosis mild autism untuk mendapatkan rawatan di pusat tersebut sejak November 2019.
“Apabila kesan lebam dan cedera semakin ketara sejak awal tahun ini, saya dan suami mula merasa ada sesuatu yang tidak kena berlaku kepada anak kami yang lebih mesra dipanggil Abrisam.
“Apabila bertanya mengapa ada kesan seperti itu, guru di sana memmberitahu disebabkan aktiviti di pusat berkenaan. Mulanya saya percaya tapi apabila bermula Januari tahun ini, kesan kecederaan sudah mula teruk sehingga nampak kesan penampar di pipi kiri kanan muka.
“Masa tu kami sudah mula syak Abrisam didera, sebab jelas nampak kesan tapak tangan dan penjelasan yang diberikan kesemuanya tidak masuk akal. Ahli terapi berkenan cakap muka Abrisam kena palang ‘monkey bar’, tetapi kesan cedera tidak seperti kena besi.
“Masa itu saya sudah tidak sedap hati. Kami tanya hampir semua ahli terapi di situ tetapi semua beri penjelasan yang kononnya anak saya tidak mahu bergerak dari palang besi itu. Hati saya berat sangat hendak terima alasan mereka”, katanya ketika dihubungi.
Setiap kali berlaku kecederaan terhadap anaknya, ibu kepada dua anak itu akan meminta penjelasan namun pada 7 Julai lalu terdapat lebam dan kecederaan baharu pada tubuh Abrisam sekali gus membuatkannya hilang sabar.
Dia dan suami kemudian membawa anaknya itu ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di Kulai pada keesokkan hari sebelum doktor sahkan kecederaan Abrisam serius akibat dera dan bukan kerana aktiviti seperti dimaklumkan.
“Selepas itu saya membuat laporan di Balai Polis Kangkar Pulai pada hari sama. Saya bawa kes anak ini mengikut prosedur. Polis minta kami bawa anak dan rujuk ke Pakar kanak-kanak di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru pada 24 Julai lalu.
“Laporan perubatan juga sudah keluar, anak saya disahkan didera (Alleged Physical Abuse by Therapy),” katanya dan melahirkan rasa kecewa dengan pusat terapi berbayar berkenaan.
Nik Huzaiwati berkata, anaknya kelihatan sangat takut selepas tamat kelas terapi pada 7 Julai lalu dan kini mengalami trauma, hampir setiap malam akan berjaga dari pukul 1 pagi hingga 4.30 pagi.
“Keadaan Abrisam sangat resah. Kadang dia monyok, dia sedih, apabila saya pujuk, barulah dia tidur. Tapi Abrisam ini bukan budak autisme yang jenis menangis kuat-kuat. Abrisam lebih kepada simpan kesedihan dalam diri, nanti ada masa tiba-tiba air mata bergenang.
“Anak ini anak istimewa. Walaupun dia tidak beritahu dia sakit, tapi dia ada perasaan,” katanya yang sudah bertemu dengan Ketua Ahli Terapi dan pihak pengurusan pusat terapi terbabit.
Jelas Nik Huzaiwati, Ketua Ahli Terapi mengatakan peralatan yang digunakan memang tidak akan membahayakan kanak-kanak.
“Mereka juga mengakui kaedah dan cara kerja yang dibuat ahli terapi salah. Mereka melihat kecederaan pada Abrisam, besi tidak akan hasilkan kecederaan seperti kesan penampar pada wajah anak,” katanya.
Leave a Reply