209 ahli Parlimen sokong RUU, apa lagi yang tak stabilnya?

SALAH satu alasan yang diberikan oleh segelintir pemimpin UMNO dalam usaha mereka mendesak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan lebih awal ialah kerajaan sedia ada tidak stabil dan banyak gangguan sama ada daripada pembangkang mahupun parti yang bergabung dalam kerajaan.

Hujah mereka, mandat perlu diserahkan kembali kepada rakyat dalam usaha mewujudkan sebuah kerajaan stabil sekaligus akan membolehkan pemulihan ekonomi dilaksanakan dengan berkesan.

Tetapi semalam di Dewan Rakyat, sejarah tercatat. Seramai 209 ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan menyokong Rang Undang-Undang Antilompat Parti.

Seperti mana kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Rang Undang-Undang tersebut penting bagi memastikan kestabilan politik yang berpanjangan.

‘’Ini adalah isyarat yang jelas bahawa Ahli-AhliYang berhormat mengamalkan politik matang berteraskan semangat Keluarga Malaysia dengan meletakkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat dalam apa juga perancangan,’’ kata beliau.

Berdasarkan hujah itu terbuktilah dakwaan segelintir pemimpin UMNO bahawa kerajaan sedia ada tidak stabil dan Ismail Sabri sukar menguruskan negara kerana banyak gangguan hanyalah omong kosong. Kestabilan apa lagi yang dimahukan sedangkan demi kepentingan rakyat dan negara, 209 ahli Parlimen mengenepikan perbezaan politik dengan menyokong rang undang-undang tersebut.

Malah sokongan itu termasuk daripada  parti-parti yang bergabung dalam kerajaan membuktikan, kerajaan sedia ada stabil dan Ismail Sabri tidak harus diberikan tekanan untuk mengadakan pilihan raya atas alasan mahu mewujudkan kerajaan stabil.

Kalau kestabilan tidak wujud sudah pasti Rang Undang-Undang Antilompat tidak akan mencatatkan sejarah dengan mendapat sokongan majoriti dua pertiga. Maknanya, kalau ada rang undang-undang yang bertujuan demi kepentingan rakyat dan negara, pastinya ahli-ahli Parlimen akan menyokong tanpa mengira fahaman politik.

Dan mereka juga tidak akan melakukan langkah politik yang boleh menyusahkan rakyat dan menghuru-harakan negara.

Masalahnya yang dok memekak mendesak PRU diadakan hanya segelintir pemimpin UMNO yang bukanpun ahli Parlimen. Malah ada antara mereka bertanding dalam PRU pun kalah. Tetapi mereka membuat kenyataan-kenyataan seolah-olah kerajaan hari ini berada dalam keadaan caca marba dan tidak stabil kononnya berhadapan dengan ugutan dan ancaman sepanjang masa.

Soalnya, siapa yang mengugut? Siapa yang mengancam? Yang kerap penulis perhatikan ketika Perdana Menteri dok sibuk menguruskan negara bersama barisan Kabinetnya yang terdiri daripada pelbagai parti, segelintir pemimpin UMNO tidak habis-habis membuat kenyataan kononnya kerajaan tidak stabil oleh itu pilihan raya harus dibuat secepat mungkin.

Dalam keadaan mereka melemparkan dakwaan itu, kerajaan berjalan dengan tenang. Segala isu ditangani oleh Ismail Sabri dan menteri-menterinya, tidak nampakpun pengurusan negara berada dalam keadaan kelam kabut dan penuh dengan ancaman politik.

Kalaulah soal permintaan PN kepada Perdana Menteri dianggap menggugat kestabilan atau kerajaan tidak stabil, itu boleh dianggap hujah dangkal. Apa yang dibangkitkan oleh PN adalah meminta Perdana Menteri memenuhi perjanjian yang dibuat dan apabila ia tidak dilaksanakan, PN berhasrat untuk berbincang kembali dengan Ismail Sabri, tak kanlah mahu berbincang ditafsirkan mengugut? Tafsiran politik mana yang mereka gunakan?

Tidak pernah sekalipun PN membuat kenyataan menegaskan, kalau tuntutan tidak dipenuhi mereka akan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, sebaliknya yang pandai-pandai membuat tafsiran adalah segelintir pemimpin UMNO.

Oleh itu adalah lebih baik, pemimpin-pemimpin UMNO yang bersikap demikian menghentikan mainan politik mereka. Ia sama sekali tidak memberi manfaat kepada rakyat dan negara. Kalaupun berhasrat mahu menonjolkan diri menjelang pemilihan calon untuk menjadi PRU, janganlah menggunakan hujah politik yang boleh menggugat kestabilan yang ada.

Penulis percaya, dengan sokongan yang ditunjukkan di Parlimen semalam, ia memberi isyarat jelas bahawa Ismail Sabri boleh terus memimpin negara dan menguruskan kerajaan dengan tenang sehingga habis penggal.

Ia memandangkan tidak akan ada ancaman politik sama ada daripada parti dalam kerajaan mahupun pembangkang, sebaliknya yang ada gangguan daripada segelintir daripada parti beliau sendiri.

Teringat kata-kata seorang kawan,’’ aneh politik akhir zaman ini, pemimpin UMNO sendiri yang menekan Perdana Menteri daripada UMNO.’’


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *