TEKANAN dalaman UMNO khususnya dari kluster mahkamah dikatakan sebagai punca yang menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob gagal menunaikan terma-terma penting yang terkandung dalam perjanjian antara beliau dan Perikatan Nasional (PN).
Memetik laporan portal Berita Bersatu, Ketua Penerangan Bersatu Negeri Sembilan, Iskandar Dzulkarnain Abdul Rahim percaya bahawa jalan terbaik yang perlu diambil untuk kestabilan kerajaan sekarang adalah dengan mengadakan pemilihan UMNO.
“Ini sekali gus melupuskan tanggapan bahawa UMNO-BN dikawal oleh ‘kluster mahkamah’ dan hanya menjadi alat individu tertentu melepaskan diri dari hukuman,” katanya ketika dihubungi Penerangan Bersatu.
Terdahulu, Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan Ismail Sabri yang dilihat tidak bersungguh-sungguh dalam memenuhi terma-terma penting yang terkandung dalam perjanjian antara beliau dengan PN.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, PN akan menghantar delegasi untuk menemui Ismail Sabri bagi membincangkan pelaksanaan terma-terma perjanjian tersebut dalam masa yang terdekat.

Antara isu yang dibangkitkan oleh Bersatu tetapi masih belum ada tindakan lanjut daripada kerajaan adalah berhubung lantikan Timbalan Perdana Menteri.
Isu pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri timbul baru-baru ini selepas Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu dibangkitkan ketika pertemuannya dengan Ismail Sabri.
Menurut Muhyiddin, pertemuan tersebut turut membincangkan isu lantikan jawatan yang termaktub dalam perjanjian antara PN dan Ismail Sabri.
Pada 9 Julai lalu, Datuk Dr Marzuki Mohamad yang berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Sulit Kanan ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri mengesahkan bahawa perjanjian berhubung lantikan Timbalan Perdana Menteri dari Bersatu memang wujud.
Mengulas lanjut, Iskandar Dzulkarnain mempersoalkan tindakan pasif Ismail Sabri berhubung soal jawatan menteri di mana kuotanya daripada Bersatu.
Ini susulan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin yang mengumumkan keluar Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
“Sudah dua bulan berlalu Zuraida keluar parti, jawatan menteri patut diganti dari kuota Bersatu.
“Soal Ismail Sabri nak kekal sokongan tidak wujud. Baru-baru ini, beberapa RUU yang dibentang telah mendapat sokongan penuh Ahli Parlimen blok kerajaan di Dewan Rakyat yang memberi gambaran Ismail Sabri masih kekal mendapatkan sokongan majoriti.
“Saya gesa beliau melaksanakan apa yang telah dijanji dengan segera. Itu mencerminkan maruahnya sebagai seorang PM,” katanya.
Leave a Reply