POLIS menahan empat beranak secara berasingan selepas disyaki terbabit dengan sindiket pengedaran dadah di Kuala Lumpur, pada Isnin.
Pihak polis turut merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM328,385.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai memberitahu, menerusi serbuan pertama, pihaknya menahan seorang lelaki dan seorang wanita di sebuah unit kondominium di Jalan Kuching pukul 1.45 pagi.
“Kami merampas 400 biji pil erimin 5, 140 biji ekstasi dan 5.9 gram ketamin selain merampas wang tunai berjumlah RM2,057 dipercayai hasil penjualan dadah.
“Hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek, polis kemudian melakukan serbuan lagi di tempat letak kereta kondominium sama kira-kira pukul 4.30 petang, hari yang sama.
“Kami menahan seorang lelaki berusia 47 tahun dan anak perempuan tirinya berusia 18 tahun dan pemeriksaan ke atas sebuah kereta, kami merampas 11,000 pil erimin 5, 200 pil ekstasi dan 250 gram ketamin,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di Kuala Lumpur, hari ini.

Pihaknya turut merampas wang tunai RM7,000 dan hasil ujian air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah.
Eng Lai berkata, serbuan ketiga dilakukan di sebuah rumah di Taman Indah Perdana, Kepong pada pukul 6.30 petang.
“Kami menahan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun dan seorang wanita berusia 38 tahun yang juga isteri dan anak tiri suspek.
“Kami turut merampas 200 gram ketamin dan 90 gram methylnedioxymethamphetamine (MDMA). Kami turut merampas wang tunai berjumlah RM40,000 yang dipercayai hasil jualan dadah,” katanya.
Eng Lai berkata, siasatan awal mendapati empat beranak itu disyaki membekalkan dadah kepada suspek lelaki dan wanita yang ditahan dalam serbuan pertama.
“Kesemua suspek direman tujuh hari bermula Rabu hingga Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.
Leave a Reply