PLATFORM media sosial hari ini dibanjiri dengan rungutan orang ramai berkenaan gangguan bekalan elektrik yang berlaku di beberapa kawasan, bukan sahaja di Lembah Klang malah di beberapa negeri lain.
Rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa kesal dan tertanya-tanya berkenaan situasi yang berlaku bermula tengah hari ini sekali gus menjadikan tanda pagar #Blackout sohor kini di laman Twitter.
Antara rungutan berkenaan perkara itu dinyatakan pengguna media sosial yang berada di kawasan Seremban, Negeri Sembilan ; Kuantan, Pahang ; Sungai Petani, Kedah dan Kajang, Selangor.
Pengguna Twitter menggunakan akaun ‘pixel-purr’ antara yang meluahkan rasa keliru dengan situasi tersebut yang berlaku secara tiba-tiba.
“Hello @Tenaga_Nasional apa jadi? Tiba-tiba ada power outage? (bekalan terputus) I hear major areas in Kuala Lumpur, Petaling Jaya and Puchong also have power outage,” tulis pengguna berkenaan.
Situasi itu turut mencetuskan rasa kecewa pengguna akaun ‘Beardr888ps’ yang meminta penjelasan dan tindakan lanjut daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“@Tenaga_Nasional apa telah jadi? Kenapa gangguan elektrik semakin kerap berlaku? Kami perlukan jawapan ….. Siapa nak bayar kalau barang dalam peti ais saya rosak? Saya nak discount code untuk next bill saya please!,” ciapnya di Twitter.
Namun di sebalik ketegangan, terdapat juga netizen yang memberi reaksi lucu dengan menyamakan situasi tidak dijangka itu dengan sambutan ‘Earth Hour’ selain mengaitkannya dengan sebuah filem Hollywood.
Sementara itu jurucakap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan situasi itu turut menjejaskan sementara perkhidmatan lampu isyarat dan kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa kawasan di ibu negara antaranya di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail.
Menurut DBKL petugas trafik telah diarah mengawal dan mengawasi lalu lintas susulan gangguan bekalan.
Menurut Malaysia Airports pula, perkhidmatan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) turut terjejas melibatkan bangunan terminal utama.
“Kami mohon maaf kerana terminal utama KLIA ketika ini mengalami gangguan bekalan tenaga elektrik. Pasukan kejuruteraan kami sedang bekerjasama rapat dengan TNB bagi menyelesaikan perkara ini,” katanya. – BERNAMA
Leave a Reply