BEG tangan serta kasut terpakai bernilai lebih RM3.3 juta yang dipercayai diseludup dari negara jiran berjaya dirampas anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) Kuantan dalam operasi dilakukan di Bukit Bunga, Tanah Merah pada pukul 6 petang kelmarin.
Menurut Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun, ketika kejadian, anggota PGA7 terbabit sedang membuat rondaan sebelum terserempak dua lori dalam keadaan mencurigakan.
“Kami menahan lori berkenaan serta memperkenalkan diri sebelum memeriksa kedua-dua kenderaan tersebut.

“Pemeriksaan menemui kasut dan beg tangan pelbagai jenama dalam longgokan guni yang diletak di belakang lori.
“Dua suspek berusia 30 dan 31 tahun ditahan manakala barangan dan lori dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Muhamad Zaki berkata, kesemua barangan rampasan kemudian diserah kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Leave a Reply