PENDENGARAN permohonan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony bagi penggantungan sabitan salah terhadapnya kerana kesalahan menggunakan dokumen palsu ditangguhkan kepada 28 Julai ini.
Peter mengemukakan permohonan penangguhan itu sehingga rayuannya diputuskan oleh Mahkamah Tinggi atas alasan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang bakal diadakan.
Pendengaran kes tersebut dijadual hari ini tetapi ditangguhkan selepas Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi, mengambil cuti kecemasan, demikian menurut Timbalan Pendakwa Raya, Haresh Prakash Somiah.
Dalam permohonan itu Peter, selaku pemohon, berkata sekiranya rayuan di Mahkamah Tinggi dibenarkan dan sabitan serta hukumannya diketepikan, beliau akan diprejudiskan untuk bertanding dalam PRU15 kerana sabitan terhadap pemohon akan membatalkan pencalonan pemohon.
Pada 26 Mei lepas, Azura menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 atau penjara 15 bulan terhadap Peter, 51, selepas didapati bersalah memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan sistem Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014.
Hakim itu juga membenarkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sehingga rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan itu selesai, namun memerintahkan denda RM50,000 itu dibayar pada hari itu (26 Mei lepas).
Dalam permohonan yang difailkan pada 11 Jun lepas, Peter memohon penggantungan pelaksanaan penghakiman Mahkamah Sesyen dan sabitan dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.
Berdasarkan afidavit sokongan yang difailkan bersama permohonan itu, Peter menyatakan terdapat keadaan istimewa yang membolehkan penggantungan tersebut dibenarkan atas alasan rayuan pemohon di Mahkamah Tinggi akan menjadi tidak bernilai atau sia-sia jika pelaksanaan penghakiman dan sabitan terhadap pemohon tidak digantungkan.
Mahkamah Tinggi menetapkan 1 Ogos untuk pengurusan kes bagi rayuan Peter itu.
Mengikut pertuduhan, Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014, dan didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.— Bernama
Leave a Reply