2 gadis ditawar kerja di Dubai tapi dipaksa jadi ‘scammer’ di Laos

DUA gadis terpedaya dengan tawaran gaji lumayan RM9,000 sebulan di Dubai apabila dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ di Laos.

Namun nasib malang kedua-dua mereka berusia 27 dan 38 tahun berakhir selepas mendapat pertolongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Alex Seah Soo Chin.

Menurut Alex Seah, mereka pergi ke Dubai selepas berurusan dengan ‘ejen pekerjaan’ yang menawarkan pekerjaan.

“Mereka pergi dengan dokumen perjalanan yang sah selepas tertarik dengan tawaran kerja yang ditawarkan seorang wanita warganegara China.

“Mangsa berusia 38 tahun terpedaya dengan wanita yang dikenali hampir tujuh tahun itu sebelum mengajak rakannya menerima tawaran pekerjaan tersebut.

“Malangnya setiba di Dubai pada Disember tahun lalu, mereka ditawarkan pekerjaan sebagai operator kasino dalam talian dengan gaji RM6,000 sebulan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

Katanya, kemudian mereka dibawa ke Thailand dengan menaiki kereta dan bot dengan alasan untuk bekerja dalam sektor kewangan sebelum dibawa pula ke Laos.

Jelasnya, ketika di Laos, mangsa dipaksa bekerja sebagai ‘scammer’ dan akhirnya berjaya menghubungi beliau untuk membawa mereka pulang ke Malaysia.

Ujarnya, dengan kerjasama kedutaan Malaysia di Laos, Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dan Kementerian Luar Negeri kemudian berjaya mengatur kepulangan mereka berdua.

“Bagaimanapun tidak lama dari tarikh pulang, mereka nyaris ditipu seorang individu yang menawarkan perkhidmatan pulang segera dengan bayaran RM5,000.

“Nasib baik mereka menghubungi saya semula dan tidak membuat sebarang pemindahan wang ke dalam akaun bank milik seorang individu.

“Cuma saya terkilan seolah-olah perancangan kepulangan mereka didakwa diketahui orang lain sehingga cuba memperdayakan mangsa sekali lagi,” katanya.

Tambahnya, orang ramai perlu berhati-hati dan menyelidik terlebih dahulu setiap agensi pekerjaan yang menawarkan kerja terutama bekerja di luar negara.

“Selepas kes ini saya juga dihubungi dua individu yang dipaksa kerja sebagai ‘scammer’ di Kemboja,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *