Presiden Anwar

Kalau mahu saya jilat perasuah, cari Presiden lain – Anwar

APAKAH Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kecewa dengan sikap ahli-ahli parti itu yang menempelaknya sebagai seorang pemimpin yang gagal kerana tidak dapat menjadi Perdana Menteri?

Ketika menyampaikan ucapan dasar dalam Kongres Nasional PKR di Shah Alam hari ini, beliau seolah-olah ‘melepaskan geram’ terhadap golongan tersebut.

Memetik laporan Malaysiakini, Anwar meminta mereka yang berpandangan sedemikian supaya mencari Presiden yang baharu.

Pada masa yang sama, Ahli Parlimen Port Dickson itu menjelaskan, beliau mampu menjadi Perdana Menteri tahun lalu dengan sokongan Ahli-ahli Parlimen dari UMNO, termasuk mereka yang tergolong dalam kluster mahkamah.

Walau bagaimanapun, Anwar menegaskan, beliau tidak meneruskannya kerana tidak akan berkompromi dengan prinsipnya.

“Ada orang kata ‘sudahlah, Anwar gagal’.

“Dengar sini, (jika) nak saya berjaya dengan menjilat perasuah, pilih Presiden lain,” katanya.

Sebelum itu, Anwar mendakwa, beliau mendapat sokongan 15 Ahli Parlimen dari UMNO tahun lalu, selain sokongan 105 Ahli Parlimen pembangkang sedia ada.

Namun, beliau tidak meneruskannya di saat akhir apabila beberapa pemimpin UMNO yang berdepan pertuduhan jenayah didakwa memintanya untuk menutup kes mereka.

Pakatan Harapan (PH) masih tetap mencalonkan Anwar sebagai Perdana Menteri sekiranya mereka menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Laluan Anwar dijangka sukar memandangkan blok pembangkang tidak mencapai persefahaman dalam soal calon Perdana Menteri.

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mahu Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad kembali sebagai Perdana Menteri untuk kali ketiga.

Selain itu, pendirian sekumpulan besar ahli PKR yang diketuai Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli menentang keras gagasan khemah besar yang bertujuan mengelakkan parti-parti yang menentang Barisan Nasional (BN) bertembung sesama sendiri.

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor membuktikan pertembungan banyak penjuru akan memberi kelebihan kepada BN sekali gus menyempitkan peluang Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *