Anggota polis cedera dilanggar lari penyeludup minyak

Oleh RIZQI ZABIDI

Seorang anggota polis pengsan akibat mengalami kecederaan di bahagian kepala setelah dilanggar lari oleh sebuah pacuan empat roda jenis Nissan Frontier di Kulim, Kedah hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Supritendan Mohd Redzuan Salleh berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 9.15 pagi ketika anggota tersebut yang menaiki motosikal, cuba menghentikan kenderaan tersebut di simpang berdekatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kulim.

“Berikutan kejadian itu, siasatan terus dijalankan dan suspek yang berusia 40 tahun dan berasal dari Sungai Petani, Kedah, ditahan di Butterworth, Pulau Pinang.

“Semakan lanjut mendapati dia memiliki tiga rekod jenayah dan ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis THC,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, pemeriksaan terhadap kenderaan pacuan empat roda itu mendapati kenderaan tersebut telah diubah suai.

“Terdapat tangki minyak di bahagian belakang kenderaan itu dengan suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan minyak,” katanya.

Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 42(1) dan 44 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 serta Seksyen 6(1) APJ 1987,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *