PERWAKILAN Wanita PKR hari ini menuntut lebih ramai wakil wanita dari parti itu diketengahkan sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Rata-rata perwakilan mahu PKR lebih serius, dalam memastikan matlamat sasaran 30 peratus penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan, selain menuntut agar peluang sama turut diberikan kepada wanita muda.
Perwakilan Negeri Sembilan, Noraini Nordin mengesyorkan agar PKR memperkenalkan Akademi Wanita Keadilan, untuk menggilap potensi wanita dalam bidang politik sekali gus melahirkan lebih ramai pemimpin berkualiti.
“Kita juga menuntut lebih ramai wakil wanita diketengahkan, jangan menafikan hak wanita untuk berpolitik… wanita harus ke hadapan untuk memperjuangkan suara golongan ini,” katanya membahaskan ucapan dasar pada Kongres Wanita PKR, sempena Kongres Nasional PKR ke-16 di Shah Alam hari ini.
Perwakilan Sarawak, Zulhaida Suboh berkata, beliau sebagai wakil tunggal wanita menjawat jawatan ketua cabang di negeri itu, mahu golongan wanita diberikan peluang memimpin, dan corak pemikiran wanita yang berbeza berbanding lelaki mampu menghasilkan pelbagai idea yang segar dan memperkukuhkan parti.
Isu berkenaan dibahaskan majoriti perwakilan antaranya dari Majlis Pimpinan Wanita Pusat, Melaka, Perlis, Wilayah Persekutuan, Sabah, Sarawak dan Perak, yang antara lain menuntut peluang diberikan untuk wanita memimpin di peringkat tertinggi dalam parti.
Wakil Srikandi PKR, Athirah Nurlisa Rusli berkata, peranan wanita muda dalam parti itu amat kritikal, malah menjadi antara penggerak utama gerak kerja setiap kali berlaku pilihan raya, untuk mendekati pengundi terutama golongan muda.
Sementara itu, perwakilan wanita juga sebulat suara bersetuju dengan usul agar 11 Ahli Majlis Pimpinan Wanita Pusat, dipilih secara automatik sebagai sebahagian daripada 50 perwakilan wanita ke Kongres Nasional PKR esok.
Seramai 490 perwakilan wanita hadir pada kongres sayap parti itu hari ini yang berlangsung sehari melibatkan 16 pembahas, manakala proses pengundian 20 wakil untuk mengisi jawatan dalam barisan majlis pimpinan wanita pusat pada pagi tadi juga, lancar tanpa sebarang insiden. – BERNAMA
Leave a Reply