saifuddin rafizi PKR kerusi

PRU-15: PKR tanding semua kerusi dimenangi

PUCUK pimpinan PKR memutuskan parti itu akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di semua kerusi yang dimenanginya.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) pagi tadi.

Memetik laporan Malaysiakini, beliau berkata, PKR juga akan berunding dengan sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH) untuk mendapatkan lebih banyak kerusi untuk bertanding.

“Temurapat pimpinan telah bersetuju PKR akan terus memperkukuhkan parti, memperkuat PH dan menjana kekuatan baru

“Temurapat bersetuju bahawa PKR akan bertanding semula di semua kerusi parlimen dan dewan negeri yang telah kita menangi.

“Kita juga bersetuju terus berunding dengan parti-parti sahabat di dalam Pakatan Harapan (PH) bertujuan menambah lagi kerusi untuk PKR tandingi dengan harapan muncul sebagai parti terbesar dan terkuat,” katanya kepada perwakilan yang menghadiri kongres tersebut di Shah Alam,

Bercakap dengan pemberita kemudian, Saifuddin berkata, kepimpinan PKR ada jumlah kerusi tambahan khusus yang disasarkan tetapi enggan memberi perincian lanjut, kecuali ia termasuk kerusi yang PKR tewas dengan majoriti kecil pada PRU lalu.

“PRU kali ini tak akan ada satu parti atau gabungan yang akan menang mudah.

“Bagaimana PKR nak posisikan dirinya? Kita nak jadi kuat, tapi itu tetap tak bolehkan PKR tubuh (kerajaan sendiri).

“Jadi tugas sekarang adalah menang 48 kerusi Parlimen (yang dimenangi pada PRU14) dan tambah. Kita tengok kerusi yang kita kalah dulu tapi dengan majoriti (pihak menang) yang boleh kami tampung.

“Kami ada bilangan kerusi tetapi saya tak boleh dahului rundingan dengan parti-parti sahabat,” katanya.

Dalam ucapannya kepada delegasi AMK, Saifuddin memberi peringatan panjang berkenaan kepentingan disiplin organisasi.

Menyatakan bahawa terdapat kemerosotan dalam soal disiplin, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu menegaskan semua keputusan parti dibuat secara kolektif dan perlu dihormati semua ahli.

“Walaupun bila ada keputusan yang tidak sama dengan pandangan kita, kita ada disiplin organisasi di mana ahli perlu patuh kepada keputusan dan pertahankan keputusan.

“Adakah keputusan boleh ditukar? Ya, boleh. (Tapi) ia mesti melalui saluran betul,” katanya lagi.

Beliau memberikan beberapa keputusan utama yang dibuat parti sebagai contoh, termasuk yang menurutnya menyebabkan perbezaan dalam kalangan kepimpinan tertinggi.

Antaranya adalah keputusan untuk menyertai PH pada 2015.

“Parti terpecah dua. Separuh kepimpinan bantah, separuh lagi sokong.

“Presiden ketika itu, Wan Azizah Wan Ismail putuskan untuk sertai PH, dan keputusan ini dibuat secara bersama,” katanya lagi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *