Mayat kanak-kanak ditemukan dipercayai dibaham buaya

SEORANG budak lelaki yang dilaporkan hilang di sungai pada Selasa lalu ditemukan meninggal dunia dipercayai akibat dibaham buaya di Kampung Batu Putih, di Kinabatangan, hari ini.

Kanak-kanak berkenaan yang berusia lapan tahun ditemukan pada pukul 1.50 petang dalam keadaan anggota badannya tidak sempurna kira-kira 3.5 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ketiga dimulakan pada pukul 7.40 pagi.

“Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan separuh badannya tiada iaitu kedua belah tangan, kaki kiri dan kepala berkemungkinan dibaham buaya,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Katanya lagi, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi SAR kemudian ditamatkan pada pukul 2.05 petang,” katanya.

Media pada Selasa lalu melaporkan mangsa dikhuatiri lemas selepas mandi di sungai berkenaan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *