Anggota, bekas ketua polis balai dituduh rasuah

Oleh RIZQI ZABIDI

Dua anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini bagi berdepan beberapa pertuduhan rasuah yang didakwa dilakukan enam tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh, Koperal Faudzi Mat Desa, 58 serta Sarjan Mejar Ahmad Ibrahim bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan dihadapi mereka.

Faudzi yang bertugas di Balai Polis Mahang terlebih dulu dihadapkan dengan empat pertuduhan kerana memperolehi rasuah dengan nilai keseluruhan RM900.

Sarjan Mejar Ahmad Ibrahim

Bagi pertuduhan pertama, ketiga dan keempat yang didakwa dilakukan pada 15 April 2016, 8 Jun 2016 dan 11 Mac 2016, tertuduh didakwa telah menerima sebanyak RM250 untuk setiap pertuduhan.

Bagi pertuduhan kedua yang didakwa dilakukan pada 12 Mei 2016, tertuduh didakwa menerima rasuah sebanyak RM150.

Wang rasuah untuk pertuduhan pertama, kedua ketiga didakwa diterima di Kedai Makan Serk Heang di Pekan Mahang manakala suapan untuk pertuduhan keempat didakwa diterima di sebuah warung makan tidak bernombor di persimpangan jalan menghala ke Ulu Mahang.

Selain empat pertuduhan itu, Faudzi turut dituduh dengan niat bersama menerima rasuah dengan Ahmad Ibrahim yang merupakan bekas Ketua Balai Polis Mahang.

Rasuah berjumlah RM550 itu didakwa diterima di sebuah restoran di Taman Mutiara, Sungai Kob dekat Kulim kira-kira pukul 8.43 malam, 1 Julai 2016.

Selain itu Ahmad Ibrahim turut didakwa dengan satu lagi pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM300 pada 25 Julai 2016, kira-kira pukul 12.56 petang

Kesemua suapan itu didakwa diterima mereka dari seorang individu yang kini berusia 53 tahun, sebagai dorongan untuk tidak mengeluarkan saman terhadap lori-lori milik seorang lelaki lain.

Semua pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Rehab Abdul Shukur mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, CP Ang.

Hakim, Juraidah Abbas menetapkan kadar jaminan sebanyak RM14,000 untuk semua kes dihadapi Faudzi manakala Ahmad pula dibenarkan diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin.

Kes ditetapkan untuk disebut semula pada 1 September 2022.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *