Pemimpin UMNO tak payah lah ‘meraban’ sangat

TT memang pelik tengok sesetengah pemimpin UMNO yang cepat sungguh ‘melompat’ bila ada isu dikaitkan dengan Muhyiddin Yassin, Bersatu dan PN.

Cara mereka respons nampak macam panik tak tentu hala. Yang ada seorang dua pemimpin UMNO kat Johor tu jangan cakapla…memang tak ada modal lain dah, itu saja modal mereka.

TT dah agak pemimpin-pemimpin UMNO mesti meloncat macam ‘kapal nak karam’ bila timbul isu berhubung perjanjian untuk melantik wakil Bersatu bagi mengisi jawatan TPM.

Pada mulanya, mereka tuduh macam-macam kat Muhyiddin dan Bersatu. Mereka juga seronok apabila Hadi Awang kata, tak tahu  perjanjian melibatkan PM Ismail Sabri Yaakob dengan PN.

Bagaimanapun mereka macam ‘kera kena belacan’ bila Takiyuddin Hassan sahkan memang ada perjanjian itu atau lebih tepat lagi Memorandum Perjanjian (MoA).

Tetapi faham betul-betul apa yang Takiyuddin kata. Beliau jelaskan MoA berkenaan, ada disebut jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) tetapi hanya jika perlu dilantik. Maknanya kalau Ismail Sabri sebagai PM, rasa perlu ada TPM, maka mengikut MoA itu mestilah dilantik dalam kalangan Ahli Parlimen Bersatu, itu saja.

Yang pastinya bagi jawatan Menteri Perladangan dan Komoditi mesti diberikan kepada Bersatu apabila Zuraida Kamaruddin meletakkan jawatan kerana itu kuota Bersatu yang diberikan ketika penubuhan kerajaan dahulu. Justeru tak timbul soal Muhyiddin dan Bersatu kemaruk jawatan apatah lagi tuduhan yang mengatakan Bersatu ugut tarik sokongan terhadap PM kalau tuntutan tak dipenuhi.

Pemimpin-pemimpin UMNO kena ingat semula dan jangan lupa, dulu masa Muhyiddin jadi PM, mereka tuntut jawatan TPM diberikan kepada UMNO. Demi mahu menjaga keharmonian dalam kerajaan, Muhyiddin bersetuju lantik Ismail Sabri bagi jawatan itu, sebelum Muhyiddin ‘disingkirkan’oleh gerakan politik pemimpin tertentu dalam UMNO.

Sekarang, Muhyiddin hanya mengingatkan sahaja Ismail Sabri berhubung perjanjian yang telah dibuat. Tetapi beliau amat faham prerogatif Ismail Sabri sebagai PM bukan macam pemimpin UMNO, kata faham prerogatif PM tetapi dok desak minta bubar Parlimen dan jangan lantik ahli Parlimen Bersatu ganti tempat Zuraida.

TT  masih tidak faham kenapa ada segelintir pemimpin UMNO nak campurtangan soal perjanjian antara Ismail Sabri dengan PN. Ismail Sabri lakukan atas kapasiti beliau sebagai PM. Sudah pasti, Ismail Sabri sudah fikir segala sudut dan kesannya sebelum membuat perjanjian berkenaan.

Namun ia tidak bermakna beliau kehilangan prerogatif dalam membuat keputusan. Sebab itulah pemimpin UMNO jangan dok ‘meraban’ sangat bila tahu ada perjanjian tersebut. Biarlah Ismail Sabri uruskan dalam kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri dan bukannya Naib Presiden UMNO.

Muhyiddin, Bersatu dan PN pun faham perkara itu sebab itulah Muhyiddin hanya menyuarakan kepada Ismail Sabri sebagai mengingatkan beliau bukannya nak paksa beliau. Pemimpin UMNO tak perlu bimbang dan tak payah dok main sentimen kononnya kerajaan ada ‘kudis’ sebab Bersatu ada di dalamnya.

Sebenarnya yang sebelum ini menjadi ‘kudis’ adalah segelintir pemimpin UMNO ketika Muhyiddin menjadi PM. Ketika itu semua orang tahu bagaimana Muhyiddin ‘diserang’ habis-habisan ketika beliau sedang sibuk menguruskan negara yang diserang pandemik Covid-19. Akhirnya melalui gerakan itu, Muhyiddin terpaksa meletakkan jawatan apabila 15 ahli Parlimen UMNO menarik sokongan…itulah ‘kudis’ sebenar!.

Akhir sekali TT nak cakap, bila ada pemimpin UMNO kata Majlis Tertinggipun tak tahu, Kabinet pun tak tahu, TT teringat 1MDB.

Bila isu itu pecah, ramai pemimpin UMNO kata mereka tak tahu dan tak dimaklumkan, malah mereka ‘mati-mati’ kata semua itu fitnah pembangkang tetapi akhirnya kita tahu apa yang berlaku hinggakan terbaru media antarabangsa Nikkei menganggap ia skandal rasuah terbesar dunia.

Jadi bila pemimpin UMNO kata, mereka tahu pasal MoA antara Ismail Sabri dengan PN..tu biasalah…tiada apa yang mengejutkan.   

*Tebuan Tanah (TT) berpengalaman lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *