Bekas penjenayah ditahan cuba sogok anggota polis RM200

SEORANG lelaki ditahan selepas cuba merasuah anggota polis dengan wang tunai RM200 supaya tidak mengambil tindakan terhadapnya semasa pmeriksaan di persimpangan Kampung Air Putih, Jalan Jerangau Jabur Kemaman, di Chukai, pukul 4.10 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sebelum kejadian anggota polis terbabit bersama seorang rakan setugas sedang melakukan rondaan cegah jenayah.

Beliau berkata, anggota itu melihat suspek berusia 41 tahun dari Pekan, Pahang itu sedang duduk di atas motosikalnya dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan pada pengenalan diri mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lalu berkaitan dadah, selain gagal mengemukakan lesen memandu dan cukai jalan.

“Selepas memaklumkan untuk membawanya menjalani saringan awal air kencing, suspek mengeluarkan wang tunai dan menghulurkan kepada anggota polis terbabit dengan meminta kes itu diselesaikan.

“Suspek kemudian ditahan atas kesalahan memberi rasuah kepada penjawat awam, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman untuk tindakan lanjut,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *