SEMUA anggota polis kontinjen Perak diberi amaran supaya tidak terlibat dengan kegiatan melindungi aktiviti haram khususnya penyeludupan pendatang tanpa izin dari sempadan negeri ini.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalatrash Wahid berkata tindakan tegas akan diambil kepada anggota dan pegawainya yang didapati mendalangi pencerobohan sempadan negara di Pengkalan Hulu dan Betong di Wilayah Yala selatan Thailand serta kawasan perairan.
“Sekiranya ada kalangan mereka terlibat, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mereka menggunakan undang-undang SOSMA (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012) namun setakat ini tiada laporan diterima membabitkan kontinjen negeri ini.
“Berikutan pengumuman negara Thailand untuk membenarkan penggunaan ganja bagi tujuan tertentu khususnya perubatan, susah tentu ia akan memberi kesan kepada keselamatan di sempadan negara kita.
“Jadi polis Perak sedang meningkatkan pemeriksaan di sempadan negara dalam menghadapi ancaman terhadap aktiviti penyeludupan dan kemasukan barang terlarang ke negara ini,” katanya ketika ditemui pemberita sempena lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar, Kuala Kangsar, hari ini.
Katanya semua ketua polis daerah di kontinjen Perak diminta mempertingkatkan perancangan dan strategi pencegahan jenayah dengan menggerakkan kekuatan keanggotaan yang ada secara sistematik dan berkesan.
Leave a Reply