ketibaan jemaah

Papuh saran TH lebih terbuka pilih agensi pelancongan sebagai PJH

PERSATUAN Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh) menyarankan agar Tabung Haji (TH) lebih terbuka dalam memilih agensi pelancongan yang belum menjadi Perkhidmatan Pengelola Jemaah Haji (PJH) pada setiap tahun.

Presidennya, Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, ini bagi mengelakkan insiden jemaah haji yang terkandas berulang.

“Sudah tiba masanya sistem ‘Kartel TH’ yang diamalkan oleh TH perlu dirombak tanpa birokrasi bagi memberi peluang kepada agensi pelancongan yang lain mejadi PJH dan tidak hanya tertumpu kepada yang sedia ada saban tahun.

“Papuh mengesyorkan setiap agensi pelancongan yang menjadi PJH mesti diulang ganti setiap dua tahun.

“TH perlu lebih peka dengan insiden (jemaah haji terkandas) yang terjadi setiap tahun dan apakah tindakan mereka bagi membenteras permasalahan ini,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

Pada Khamis, seramai 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dipercayai telah menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

Bakal jemaah haji tersebut dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji.

Mengulas lanjut, Razali berkata, Papuh turut menyambut baik reaksi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang mengambil tindakan setelah berlakunya penipuan di bawah undang-undang Akta Industri Pelancongan 1992.

“Tindakan ini adalah wajar kerana pengurusan mengerjakan haji bukanlah terletak di bawah kuasa MOTAC,” ujarnya.

Jelasnya, jemaah haji sepatutnya tidak perlu membayar keseluruhan kos pakej sebaliknya hanya perlu membayar sedikit wang pendahuluan.

“Bayaran penuh boleh dibuat sekiranya mereka mendapat visa haji jemputan. Pengurusan syarikat bagi mengurus permasalahan jemaah tidak diurus dengan baik juga menjadi faktor penyumbang kepada insiden tersebut.

“Bagi tahun ini, visa haji jemputan ini tidak menggunakan visa furada (visa sahaja) seperti tahun-tahun sebelumnya sebaliknya digantikan dengan visa mujamalah (visa termasuk pakej pengurusan dan penginapan) yang lebih efektif dan mudah,” jelasnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *