SEKIRANYA ada dalam kalangan kita yang berminat untuk menjadi ahli politik, namun, mempunyai hati yang selembut tisu, barangkali, anda patut lupakan niat dan hasrat itu.

Masakan tidak, bergelar ahli politik menuntut seseorang itu memiliki hati yang waja dan bersedia untuk menjadi mangsa kritikan, cercaan, adu domba atau sekalipun dibenci oleh rakyat.

Itu nasihat yang dititipkan Tun Dr Mahathir Mohamad yang sangat masak dengan sepak terajang permainan politik.

Nasihat beliau, orang politik punya pelbagai rupa dan karakter, demikian juga dengan penyokong yang boleh mengubah fikiran dan pandangan mereka mengikut suasana.

“Setelah saya mengambil bahagian dalam politik, saya dapati tidak ada seseorang atau idea yang akan disokong 100 peratus oleh semua orang. Apa yang kita lakukan, ada saja orang yang tidak bersetuju.

“(Contohnya) semua orang nak jambatan di Pulau Pinang, ada juga yang tak nak kerana kata mereka kalau ada (buat) jambatan (pakai) belanja banyak. Jadi, saya terima, okey you (kamu) tak bersetuju.

“(Dalam masa sama) saya fikir it’s good (adalah baik kalau ada jambatan untuk hubungan bahagian pulau dengan tanah besar di Pulau Pinang), saya buat juga dan akhirnya orang yang tidak bersetuju pun bersetuju juga dengan saya.

“Jadi, kita kena bersedia untuk dikritik. Orang politik tak boleh harap 100 peratus sokongan, tetap ada orang yang tak bersetuju,” kata Dr Mahathir dalam wawancara khas bersama Astro AWANI yang dikendalikan Editor Saharudin Musthafa dan wartawan Faye Kwan sempena ulang tahun kelahiran ke-97 beliau.

Mengakui sudah lali dengan segala jenis macam kritikan, tohmahan dan fitnah yang dilemparkan kepadanya oleh musuh politik, dalam masa sama negarawan itu bersyukur kerana beliau tidak pernah mengambil semua itu sebagai bebanan buat dirinya.

”Saya bukan billionaire”

Disebabkan itu, Dr Mahathir berulang kali meminta mereka yang memfitnah dan mereka cerita agar membawa bukti sebagai menyokong tuduhn kononnya beliau sudah mengaut kekayaan melimpah ruah semasa menjadi Perdana Menteri – dakwaan yang dianggap beliau sebagai tidak berasas.

“Kadang-kadang ada orang yang buat tuduhan-tuduhan yang tidak berasas. Kononnya, saya billionaire, mempunyai berbilion Ringgit di Switzerland, Taiwan. Apa bukti yang ada? Saya tak ada. Saya punya kehidupan sederhana dan rumah saya bukanlah macam mahligai, tapi orang masih kata saya kaya. Saya tak ada duit. Saya yang ada duit gaji, pencen saya,” buat kesekian kalinya Dr Mahathir menafikan dakwaan itu.

Di sebalik sisi tidak seronok akibat sering menjadi sasaran tuduhan dan dakwaan, Dr Mahathir tidak menafikan, sebilangan besar masa sebagai pemimpin yang dilaluinya menawarkan beliau banyak nikmat dan kegembiraan.

Contohnya, kata beliau, apabila sesuatu projek yang diilhamkan untuk negara berjaya direalisasikan dan menggembirakan banyak pihak.

Justeru, setiap kali berada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Menara Berkembar Petronas dan Jambatan Pulau Pinang, hati kecil Dr Mahathir sebetulnya sangat berbunga.

“Itu yang menggembirakan. Kita merasa senang, puas hati apabila sesuatu yang kita rancang menjadi kenyataan. Dulu tak ada jambatan Penang (Pulau Pinang) sampai mainland (tanah besar). Sekarang ada.

“Kita tahu keadaan dulu dengan keadaan sekarang. Saya pula berada (hidup) 80 tahun dahulu, saya tau keadaan Malaysia macam mana, miskin, tak ada kemudahan-kemudahan, tak ada jambatan pun (untuk) menyeberangi sungai.

“Sekarang ini kita ada highway (lebuh raya) dari Bukit Kayu Hitam sampai ke Johor. Itu satu kejayaan. Saya biasa dulu jalan bengkang-bengkok, nak pergi Penang (dari Alor Setar) mengambil masa dua jam, jalan tak elok tapi sekarang jalan terus sahaja.

“Jadi saya lebih sedar kemajuan yang dicapai daripada orang lain (generasi muda) pasal orang lain (selepas) dilahirkan, benda ini (kemudahan) sudah ada,” kata Dr Mahathir sambil merenung jauh, barangkali, fikirannya melayang terkenang pengalaman silam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here