Tiga rumah musnah terbakar dipercayai angkara pesakit mental

TIGA rumah musnah dalam kebakaran dipercayai angkara seorang lelaki yang menghidap masalah mental dalam kejadian di Kampung Banggol, Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Zukeri Shafie berkata, pihaknya menerima panggilan pada 1.17 tengah hari dan seramai 22 anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, bomba berjaya mengawal kebakaran yang menyebabkan kemusnahan rumah hampir 80 peratus.

“Punca kebakaran serta kerugian dialami mangsa masih dalam siasatan,” katanya menurut laporan Satu Berita.

Sementara itu, seorang mangsa yang juga peniaga pakaian terpakai, Mohd Syahid Sipri, 32, berkata, kejadian itu menyebabkan dia kerugian RM20,000 selepas semua barangan perniagaan musnah.

Menceritakan lebih lanjut, katanya, dia hanya menyedari kejadian itu pada 1 tengah hari selepas pulang daripada berniaga di kawasan Kedai Buloh, Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu.

“Ketika tiba di rumah yang dijadikan sebagai stor simpanan pakaian bundle itu, saya melihat kepulan asap keluar dari arah ruang tamu dan mendapati bapa saudaranya terperangkap dalam rumah.

“Saya cuba masuk melalui pintu utama, namun ia berkunci dari dalam. Semasa api mula marak, saya melihat bapa saudara telah keluar sendiri dari rumah melalui pintu tersebut.

“Saya mengesyaki dia membakar barangan di dalam rumah,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *