POLIS Selangor menafikan tangkapan dua pegawai polis dan merampas sejumlah wang tunai dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Petaling Jaya, pukul 12 tengah malam tadi, seperti yang tersebar dalam media sosial.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed mengesahkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman melakukan satu serbuan di pusat hiburan berkenaan.
“Ketika serbuan, dua pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan dan Inspektor yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan Bukit Aman turut berada di dalam premis itu bersama dengan pengunjung lain.
“Namun, kami mengesahkan tiada sebarang tangkapan atau rampasan dalam bentuk wang tunai yang dibuat terhadap kedua-dua pegawai berkenaan seperti didakwa sesetengah pihak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, kes itu akan dirujuk kepada JIPS bagi kesalahan dari sudut tatatertib.
“Ingin ditegaskan pihak polis tidak akan sama sekali berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang melanggar peraturan atau mencemarkan imej pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Tindakan tegas akan diambil selaras dengan peraturan yang ditetapkan,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Leave a Reply