SEORANG pesara tentera maut manakala seorang remaja perempuan parah selepas motosikal ditunggang bertembung di Jalan Pantai Puteri, Melaka awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 4.20 pagi itu, Mazlan Mohamad, 42, disahkan meninggal dunia di lokasi manakala remaja berusia 14 tahun dan tidak bersekolah itu parah dan kini dirawat di Hospital Melaka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan mendapati pesara berkenaan yang menunggang motosikal Yamaha 125 Z dari arah Klebang menghala ke Sungai Udang.
“Ketika melalui Jalan Pantai Puteri berhadapan Menara Tinjau Pantai JPAM, motosikal ditunggang Mazlan bertembung dengan Modenas Kriss 110 ditunggang remaja itu di bahu kiri jalan.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa lelaki maut di tempat kejadian manakala penunggang remaja cedera parah dan dihantar ke Hospital Melaka oleh ambulans,” katanya dalam kenyataan, hari ini
Menurutnya, siasatan awal mendapati keadaan jalan di lokasi kemalangan itu kering, lurus dan rata manakala cuaca baik dan tidak hujan.
Menurut laporan Berita Harian, tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kemalangan dan pihaknya memohon saksi bebas tampil membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Leave a Reply