Mahkamah Majistret Kuala Lumpur memberi amaran kepada bekas isteri Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal, Emilia Hanafi supaya tidak menggunakan sijil cuti sakit (MC) sebagai ‘tiket’ untuk tidak hadir ke mahkamah dalam perbicaraan kes dihadapi ahli perniagaan terkenal itu atas dakwaan mencederakannya.
Majistret Nadia Othman juga membatalkan waran tangkap yang dikeluarkan terhadap Emilia, 43, selepas berpuas hati dengan penjelasan wanita itu berhubung ketidakhadirannya beberapa kali dalam perbicaraan kes yang ditetapkan sebelum ini.
“Waran tangkap dibatalkan dan saya memberi amaran kepada pengadu (Emilia) supaya hadir pada tarikh akan datang. Saya sentiasa ingatkan kehadiran semua pihak supaya mengikut prosedur.
“Sijil cuti sakit bukan satu tiket untuk tidak hadir ke mahkamah. Sekiranya perlu, seperti yang saya minta pada Puan Emilia tadi, kemukakan laporan perubatan untuk mengesahkan sakit dan ketidakhadiran ke mahkamah. Perbicaraan akan diteruskan pada 15 Julai ini,” katanya pada sebutan kes berhubung waran tangkap terhadap Emilia.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Aishah Ahmad Zakiuddin memohon mahkamah membatalkan waran tangkap yang dikeluarkan pada 15 Jun lepas ke atas Emilia berdasarkan penjelasan wanita itu.
Sementara itu, Emilia yang memberi keterangan dari kandang saksi berkata beliau tidak hadir pada perbicaraan kes itu pada 14 dan 15 Dis 2021, 28 Feb, 4 Mac, 20 April, 20 Mei dan 15 Jun (2022) berikutan keadaan kesihatannya yang tidak memuaskan selain tertekan apabila waran tangkap dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah berhubung kes lain.
“Apabila tertekan, saya jatuh sakit. Saya juga mengalami sakit perut, muntah-muntah dan cirit-birit dan kemudian saya dapatkan sijil cuti sakit dari Klinik Kesihatan kerajaan di Kelana Jaya pada 14 Dis dan keesokannya (15 Dis 2021) di Klinik Kesihatan Kota Damansara atas masalah kesihatan yang sama.
“Pada 28 Feb lepas (2022), saya telah menghantar anak-anak ke sekolah di Cheras dan saya mengalami demam selesema, kemudian terus ke klinik berdekatan untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan manakala 4 Mac pula, saya didapati kontak rapat COVID-19,” katanya.
Jelas wanita itu, pada 20 April beliau memberitahu mahkamah bahawa giginya berlubang, bernanah dan terkena jangkitan dan beliau telah mendapatkan rawatan di klinik pergigian di UTC Shah Alam dan dinasihatkan membuat rawatan akar atau mencabut gigi kerana keadaan giginya tidak dapat diselamatkan.
“Pada 20 Mei, saya kemudian mendapatkan pandangan kedua dari Klinik Kesihatan Tanglin. Tetapi, saya memilih buat rawatan di Shah Alam kerana di sana rawatannya lebih baik dan saya telah mendapatkan surat rujukan doktor manakala pada 15 Jun lalu, saya pergi UTC Shah Alam dan diberitahu tidak perlu cabut gigi dan bertahan.
“Saya pergi berjumpa pakar di Shah Alam dan dapatkan rawatan tetapi gigi masih bengkak. Jadi, apabila datang ke mahkamah saya rasa tertekan. Tetapi sekarang saya rasa lega,” kata Emilia.
Selepas mendengar penjelasan Emilia, Majistret Nadia meminta wanita itu mengesahkan bahawa beliau tidak mempunyai penyakit kronik dan Emilia menjawab: “Tiada”.
Nadia berkata beliau berpuas hati dengan penjelasan Emilia dan mengingatkan semua pihak termasuk tertuduh untuk hadir ke mahkamah demi kelancaran kes.
“Saya tidak mahu kes ini ditangguhkan. Kalau mengikut rekod saya, ada 38 sebutan untuk kes ini sahaja. Tambahan pula peguam, Timbalan Pendakwa Raya dan saksi-saksi hadir ke mahkamah malah mahkamah bersedia untuk mendengar kes ini. Ini kes anda, mahkamah bersedia, jadi awak perlu hadir. Saya tidak mahu terima penjelasan yang bukan-bukan selepas ini,” kata Nadia.
SM Faisal selaku Orang Kena Tuduh (OKT) yang diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader hadir manakala dua peguam pemerhati iaitu Datuk Khairul Anwar Rahmat dan Nazri Yahya hadir bagi pihak Emilia.
Mengikut pertuduhan, SM Faisal didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia yang merupakan isterinya (ketika kejadian) di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields di sini antara 12.30 tengah hari dan 4.30 petang mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 27 Jun lepas, Emilia dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara tujuh hari kerana gagal mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Syariah di sini mengenai tarikh lawatan tiga anaknya dan wanita itu dibebaskan dari penjara pada 1 Julai lepas.
— BERNAMA
Leave a Reply