PAS Selangor akan terus menerajui politik perpaduan dan penyatuan ummah demi membawa kestabilan dan kesejahteraan kepada negeri itu.
Pesuruhjayanya, Datuk Dr.Ahmad Yunus Hairi berkata, keputusan Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU-14) telah membangkitkan keinsafan dan memberi pengajaran kepada Pas Selangor bahawa umat Melayu Islam khasnya di negeri itu sewajarnya membina permuafakatan dan persepakatan ummah serta mengelakkan pecah-belah selaras dengan tuntutan Islam.
‘’Kegagalan berbuat demikian hanya akan merugikan agama dan bangsa. Pengalaman dan perit getir para pejuang dan pahlawan Melayu silam perlu dijadikan iktibar dalam mendepani cabaran semasa.
‘’Perjuangan pahlawan Mat Kilau sebagaimana dipaparkan dalam filem “Mat Kilau – Kebangkitan Pahlawan” jelas mendedahkan betapa asas kekuatan sesuatu bangsa adalah terletak pada keupayaan bangsa itu bersatu-padu dan berpegang teguh pada agama,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru kata Dr. Ahmad Yunus nikmat persaudaraan yang dijanjikan Allah SWT telah menjadi agenda utama Pas Selangor sejak itu.
‘’Kekuatan ummah tidak syak lagi akan mampu memberi dan menjamin keadilan buat semua termasuk dikalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini. Ia juga teras yang akan menjamin terbelanya nasib serta masadepan agama, bangsa dan tanah air,’’ katanya.
Leave a Reply