Asyraf Wajdi patut jadi pejuang rakyat bukan pendesak PRU

DALAM keterujaan dan keghairahan pemimpin UMNO khususnya Ahmad Zahid Hamidi menggesa supaya PRU-15  diadakan secepat mungkin sehingga Asyraf Wajdi Dusuki menjangkakan ia perlu diadakan pada September atau Oktber ini, mereka seolah-olah keliru apa yang mereka mahu.

Asyraf Wajdi yang setakat ini tidak pernah menang mana-mana pilihan raya berpendapat, PRU perlu diadakan bagi mewujudkan sebuah kerajaan stabil tetapi pada masa sama beliau juga membidas Muhyiddin Yassin dalam isu mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri kerana menganggap bukan waktu sesuai.

Kenapa beliau berhujah demikian? Kata Asyraf Wajdi ketika ini rakyat berada dalam situasi sukar menghadapi kenaikan mendadak harga barang.

“Ini bukan masanya untuk menuntut jawatan TPM atau menambah lagi menteri baharu. Cukuplah jumlah yang ada sekarang dengan rekod jumlah menteri terbesar dalam sejarah Malaysia. Ini termasuk pegawai-pegawai tinggi bertaraf menteri termasuk duta khas yang dilantik memenuhi tuntutan pelbagai parti yang membentuk kerajaan campuran ketika ini,” hujah beliau.

Baguslah Asyraf Wajdi prihatin dengan masalah rakyat. Cuma penulis ingin bertanya, adakah tuntutan beliau dan pemimpin-pemimpin UMNO yang mahukan PRU secepat mungkin tidak akan menyusahkan rakyat?

Apakah dengan mengadakan pilihan raya umum masalah yang sedang dihadapi rakyat akan selesai dalam satu malam? Atau adakah inflasi akan turun mendadak apabila kerajaan baru dibentuk…seperti “malam ini menang esok inflasi turun!”.

Asyraf Wajdi sepatutnya tidak keliru dalam memberi pandangan.Kalau dah tahu rakyat tengah susah janganlah dok memekak mahukan PRU secepat mungkin.

Alasan mahu mewujudkan kerajaan stabil hanyalah helah pemimpin UMNO . Kalaulah Perdana Menteri sendiri sudah menyatakan kerajaan stabil dan Presiden UMNO mengiktiraf jawatankuasa khas inflasi yang disertai oleh pelbagai kementerian yang menterinya daripada pelbagai parti, datang dari planet mana kerajaan sekarang tidak stabil.

Kalau kerajaan tidak stabil sudah pasti menteri-menteri berkenaan akan bercakaran tetapi Perdana Menteri sudah menyatakan dengan tegas, kerajaan ketika ini stabil kerana tiada penentangan antara parti dalam kerajaan.

Sebagai seorang pemimpin yang mengetuai sayap UMNO dan diletakkan harapan untuk meraih undi daripada golongan muda, Asyraf Wajdi sepatutnya teliti dalam membuat kenyataan.

Kalaulah sekarang rakyat tengah susah maka kekalkan pandangan itu untuk semua perkara yang melibatkan rakyat. Janganlah membuat kenyataan yang akhirnya menampakkan beliau keliru.

Begitu juga apabila mengulas soal Majlis Pemulihan Negara (MPN), agak lucu apabila Asyraf Wajdi tidak teliti apabila berkata,’’malah untuk menzahirkan solidariti bersama rakyat yang sedang kesempitan, elaun menteri, timbalan menteri, Pengerusi MPN, duta khas bertaraf menteri wajar dipotong.’’

Soal bila masanya pula Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN menerima elaun, bukan kelmarin, ketika bercakap kepada wartawan di Tanah Merah Muhyiddin sudah menjelaskan beliau berada dalam MPN untuk membantu negara dan kerajaan tanpa meminta sebarang bayaran atau elaun.

Apapun Asyraf Wajdi perlu faham, tanggungjawab beliau sebagai Ketua Pemuda UMNO bukan hanya menjadi pendesak mahu pilihan raya diadakan, sebaliknya pergerakan itu seharusnya menjadi pejuang bagi membantu rakyat yang kini dalam kesusahan.

Atas sebab itulah, penulis pada mulanya sedikit bangga apabila Pemuda BN mengadakan ‘job fair’ bagi membantu anak muda mendapat pekerjaan tetapi usaha sekelumit itu terjejas apabila di pentas lain, Asyraf Wajdi tidak habis-habis mahukan pilihan raya.

Sepatutnya tumpuan untuk Pemuda UMNO ketika ini ialah bersama-samanya dengan kerajaan yang dipimpin oleh Naib Presiden parti itu, Ismail Sabri mencari jalan mengurangkan rakyat beban rakyat ketika ini.

Seperti mana penulis tegas berkali-kali, sama ada kerajaan stabil atau tidak, ia bergantung kepada parti-parti dalam kerajaan bukannya pembangkang. Kerja pembangkang memanglah mencari kelemahan kerajaan tetapi kalau dalam kerajaan pun ada parti yang pemimpinnya bertindak seperti ‘duri dalam daging’ memanglah mana-mana kerajaan pun tidak stabil termasuklah kalau yang ada majoriti dua pertiga sekalipun.

Asyraf Wajdi sepatutnya tidak terus teruja atau terus dibuai dengan mimpi indah berikutan kemenangan BN di PRN Melaka dan Johor, apatah lagi menganggap anak muda sudah bersama dengan parti itu hanya menjadi PRN berkenaan sebagai ukuran.

 Percayalah anak muda yang akan menjadi penentu dalam PRU-15 nanti belum lagi bersama BN, mereka masih berbelah bahagi apatah lagi apabila melihat Pemuda UMNO masih terus mempertahankan pemimpin-pemimpin yang ada masalah integriti.

Hakikatnya, rakyat sudah bosan dengan kenyataan politik termasuk daripada pemimpin UMNO . Mereka tengah susah dengan kenaikan harga barang dan kos hidup yang lain. Mereka merintih setiap hari…tetapi pemimpin-pemimpin UMNO tidak habis-habis bercakap soal pilihan raya. Tertanya-tanya juga mereka, adakah pemimpin UMNO sudah tidak sabar kembali berkuasa selepas ditolak oleh rakyat dalam PRU-14 lalu?

Kalau begitu yakin bahawa rakyat sudah kembali menyokong BN, apa nak risau? Bilapun pilihan raya, mereka pasti akan menyokong BN tetapi pemimpin-pemimpin UMNO tahu, sokongan yang diterima di Melaka dan Johor bukan ukuran sebenar dan sama sekali tidak boleh dijadikan sandaran.

Apa yang BN harapkan dengan mengadakan pilihan raya ketika rakyat sedang berhadapan dengan masalah pengundi tidak ada semangat untuk keluar mengundi, oleh itu ia mengikut tafsiran songsang pemimpin BN ia akan memberi kelebihan kepada BN.

Pemimpin BN juga terpengaruh dengan analisis-analisis dangkal beberapa pemerhati politik yang orang sudah tahu kecenderungan mereka yang mengatakan bahawa BN akan menang besar jika PRU diadakan sekarang.

Kesimpulannya, penulis ingin menasihatkan pemimpin UMNO termasuk Asyraf Wajdi berhentilah bercakap soal pilihan raya, biarlah Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri menentukan bilakah ia paling sesuai diadakan.

Jangan bimbang dalam parti kerajaan tidak ada sesiapa yang akan melakukan tindakan menarik sokongan terhadap Ismail Sabri seperti pernah dilakukan oleh Ahli Parlimen UMNO ke atas Muhyiddin pada Ogos 2021.

Ingatlah kalau kestabilan politik negara kita tergugat ia bukan kerana mereka yang berada dalam kerajaan sebaliknya pemimpin berada di luar kerajaan yang tidak habis-habis mahukan pilihan raya sehingga pelabur melihat politik Malaysia akan bergolak lagi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *