Oleh RIZQI ZABIDI
BERBEKALKAN sebuah motosikal curi dan sepucuk pistol mainan, dua beradik berusia 23 dan 26 tahun menjadikan kegiatan samun di kedai serbaneka 24 jam sebagai sumber pendapatan untuk menyara hidup selain membeli dadah.
Kegiatan mereka yang berusia 23 dan 26 tahun itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila kedua-duanya dicekup Ahad minggu lalu hanya selepas kira-kira tiga minggu mereka dipercayai bergiat dalam akiviti haram tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner (ACP) Zaidy Che Hassan berkata, penahanan dua beradik itu dibuat tidak sampai 16 jam selepas mereka melakukan samun buat kali ketiga di kedai serbaneka 24 jam dalam daerah tersebut.
“Demi melakukan kegiatan jahat itu, dua beradik tersebut dipercayai terlebih dulu mencuri sebuah motosikal untuk memudahkan mereka bergerak sebelum mula menjadikan kedai serbaneka dalam daerah ini sebagai sasaran.
“Dalam kejadian terakhir pada Ahad minggu lalu, si abang dikatakan masuk ke kedai sebuah kedai serbaneka di Taman Setia Budi kira-kira pukul 1.30 pagi untuk melakukan samun manakala adiknya pula menanti di atas motosikal di luar premis.
“Bagaimanapun kedua-dua mereka berjaya ditahan kira-kira pukul 5.30 petang hari sama melalui serbuan dilakukan polis berhampiran Sungai Pinang Tunggal, Tikam Batu,” katanya.
Zaidy menambah, pihaknya percaya telah berjaya menyelesaikan tiga kes samun kedai serbaneka, satu kes curi motosikal dan satu kes khianat dengan penahanan dua beradik tersebut.
“Pihak kami turut merampas sepucuk pistol mainan berwarna hitam, peralatan mencuri motosikal, beg pinggang biru serta tiga plastik lutsinar mengandungi syabu seberat 2.62 gram daripada kedua-dua mereka.
“Selain itu polis turut merampas motosikal curi digunakan suspek dalam kejadian samun tersebut,” katanya.
Tambahnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960.
Leave a Reply