PERSATUAN Kontraktor Bumiputera Kelas F (Perkobf) menggesa Kementerian Kewangan mengembalikan pengurusan Kelas F (G1 Bumiputera) kepada Pusat Khidmat Kontraktor (PKK).
Mereka juga mahu kerajaan menangani kenaikan harga barang binaan.
Memetik laporan Malaysiakini, dua tuntutan tersebut adalah antara perkara yang terkandung dalam memorandum kepada Kementerian Kewangan bagi menggesa Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz campur tangan.
Presiden Perkobf, Tukiman Radion percaya langkah itu dapat memastikan kontraktor Bumiputera Kelas F dapat diuruskan dengan lebih baik.
“Kita sangat berpengalaman dahulu bersama PKK di mana kami dapat diurus dengan begitu baik dan mesra rakyat. Sekarang kami diuruskan oleh pihak CIDB di mana sistem mereka sukar diguna pakai dan banyak melibatkan kewangan.
“Sebab bila nak perbaharui lesen, kita kena bayar sekali dan kalau gagal kita kena bayar lagi dan seterusnya. Sampai kadang-kadang kami sendiri tak faham sistem apakah yang diguna pakai untuk perbaharui lesen-lesen terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas perhimpunan aman dan penyerahan memorandum enam muka surat kepada Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini.
Tukiman menambah, antara perkara yang paling membebankan kontraktor Bumiputera Kelas F ketika ini adalah tekanan daripada pihak CIDB untuk mereka menaikkan gred.
Jika tidak ,katanya, taraf kontraktor bumiputera akan ditarik balik dan mereka akhirnya terpaksa menaikkan gred.
“Maknanya, kami tidak ada lagi keistimewaan sebagai kontraktor kecil bumiputera. Bila kita tidak ada taraf bumiputera ini, kita tidak boleh ambil projek kerajaan lagi.
“Amat sukar utuk kita perolehi projek swasta manakala kerja ubah suai rumah dikuasai oleh warga asing, jadi kita hanya dapat projek kerajaan,” katanya lagi.
“Jadi di mana kami nak cari makan? inilah kerja-kerja kami. Kebanyakan kami sudah berusia 50 tahun ke atas. Siapa nak ambil kami bekerja? Jadi kami merayu kepada kerajaan, perkara ini jangan dilakukan.
“Kami harapkan kerajaan dapat berbuat sesuatu bagi membahagiakan kontraktor kecil. Itu harapan kami,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Perkobf, Sazali Mohamad Yasin berkata, memorandum tersebut dihantar bagi memaklumkan kedudukan sebenar permasalahan yang dialami oleh kontraktor kelas F seluruh Malaysia, seperti kenaikan harga bahan mentah.
“Kami mohon pertimbangan dan keputusan sewajarnya daripada Menteri Kewangan mengenai isu ini. Memorandum ini untuk memperkasakan kontraktor kelas F yang bersesuaian dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 153.
“Kami sangat tertekan dengan permasalahan hari ini dan rata-ratanya menyokong…itu sebabnya kami berkumpul di Kementerian Kewangan untuk memastikan kerajaan membela kami,” katanya.
Dalam pada itu, Tukiman berkata, jika memorandum itu tidak mendapat respons yang baik daripada Tengku Zafrul, pihaknya tidak teragak-agak untuk meminta campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Leave a Reply