KUMPULAN Otai Reformis yang merupakan penyokong tegar Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membantah cadangan kerajaan negeri Selangor untuk merobohkan Stadium Shah Alam dan membina arena yang lebih kecil untuk menggantikannya.
Memetik laporan FMT, Setiausaha Otai Reformis, Abdul Razak Ismail berkata, projek membina stadium yang baharu menelan kos yang tinggi.
Beliau berpandangan, adalah lebih baik dana itu disalurkan kepada mangsa banjir negeri itu termasuk di kawasan Sri Muda yang masih memerlukan bantuan.
“Jumlah RM1,000 yang diberikan kepada mangsa banjir masih tidak mencukupi jika dibandingkan dengan kerosakan harta benda mereka mencecah puluhan dan ratusan ribu ringgit,” katanya kepada FMT.
Abdul Razak menambah, tindakan merobohkan stadium itu akan mendatangkan kemarahan rakyat yang sedang susah ketika ini.
Beliau memberitahu, tiada keperluan menggantikan stadium tersebut memandangkan struktur asalnya masih boleh digunakan, dan cuma perlu dinaik taraf.
“Yang rosak bumbung sahaja, kenapa nak roboh stadium? Cukup naik taraf baiki kerosakan tertentu sahaja,” katanya.
Abdul Razak mengulas tentang laporan media yang mendedahkan stadium tersebut yang pernah dinobat sebagai terbesar di Asia Tenggara dan menjadi stadium rasmi bagi pasukan bola sepak Red Giants didakwa akan diroboh dan digantikan dengan stadium baharu yang lebih kecil.
Stadium baharu berkenaan dikatakan berkapasiti 30,000 hingga 40,000 penonton supaya mudah dijaga dan diselenggara berbanding Stadium Shah Alam sekarang yang berkeluasan kira-kira 155,000 meter persegi.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembangunan semula Kompleks Sukan Stadium Shah Alam di Seksyen 13 akan dilaksanakan berdasarkan hasil penilaian jawatankuasa khas.
Menurut beliau, pembangunan semula itu juga akan membabitkan Stadium Malawati sebelum tindakan selanjutnya diumumkan tidak lama lagi.
“Keputusan pembangunan semula Stadium Shah Alam (di Seksyen 13) akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya..
Leave a Reply