MAMPUKAH rakyat Malaysia berdepan dengan krisis kenaikan harga barangan yang semakin menggila ketika ini?
Persoalan itu timbul ekoran kaji selidik Pusat Kajian UCSI yang mendapati 71 peratus rakyat berpandangan gaji mereka tidak mencukupi untuk menampung inflasi dalam masa beberapa bulan akan datang.
Memetik laporan Malaysia Gazette, kaji selidik tersebut dijalankan terhadaps serami 1,178 responden.
Pusat Kajian Undian UCSI turut mendapati 90 peratus rakyat berdepan dengan isu kenaikan harga barangan keperluan harian sejak dua bulan lalu.
Manakala, 84 peratus daripada mereka bersetuju bahawa negara ini sedang menghadapi inflasi.
“Bagi soalan mengenai status kewangan mereka untuk tempoh tiga atau enam bulan ke depan, 16 peratus berpendapat kewangan mereka akan bertambah baik.
“Dan 45 peratus lagi berpendapat kewangan mereka akan bertambah teruk manakala 39 peratus berpendapat ia akan kekal sama,” kata pusat kajian itu.
Kajian yang sama turut mendapati sebanyak 86 peratus responden telah berdepan kenaikan harga daging sejak dua bulan lalu.
Kenaikan harga buah dan sayur dicatatkan pada kadar 85 peratus diikuti kenaikan harga produk import (81 peratus), kenaikan produk elektrik (80 peratus) dan kenaikan harga barang kemas (77 peratus).
Kaji selidik tersebut menunjukkan majoriti responden berdepan kenaikan harga bagi barangan keperluan dan kehendak.
Malah, bantuan yang diberikan kerajaan melalui Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) mungkin tidak akan meredakan keresahan rakyat dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang.
“Kerajaan cuba membantu rakyat B40 berdepan situasi ini dengan memberi tambahan RM100 bagi isi rumah dan RM50 bagi golongan bujang yang layak melalui BKM.
“Namun dengan kurangnya keyakinan terhadap situasi kewangan bagi tempoh tiga atau enam bulan ke depan, mampukah ia membantu rakyat Malaysia berdepan kesukaran kewangan?” soalnya.
Dapatan kaji selidik itu adalah selari dengan kegelisahan sebahagian besar rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana selepas kerajaan mengumumkan penarikan subsidi minyak sawit berbotol mulai hari ini.
Selain itu, kenaikan harga siling ayam turut membebankan mereka yang masih bergelut untuk memulihkan ekonomi keluarga selepas krisis pandemik COVID-19.
Bantuan yang diumumkan kerajaan juga tidak bersifat menyeluruh dan gagal menangani isu sebenar yang berpunca daripada kenaikan harga barangan keperluan harian.
Ramai yang mempertikaikan mengapa Malaysia sebagai sebuah negara pengeksport minyak sawit tidak berupaya mengawal kenaikan harga komoditi itu di pasaran tempatan.
Leave a Reply