TUN Dr.Mahathir Mohamad mencabar Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi mengemukakan bukti berhubung dakwaan, beliau meminta Presiden UMNO itu membubarkan parti tersebut.
Bercakap kepada wartawan di Langkawi, bekas Perdana Menteri itu itu berkata, Ahmad Zahid hanya sentiasa ‘membuka’ bermacam-macam cerita termasuk berkait dengan dirinya namun tiada sebarang bukti didedahkan.
“Apa bukti dia, yang (mengatakan) saya kata macam itu (memintanya untuk membubarkan UMNO), dia boleh cerita macam-macam, (tetapi) benda kita (yang) bercakap (itu perlu) ditunjuk bukti (mengapa) kita bercakap macam itu,” katanya lapor Astro AWANI.
Pada Selasa, Ahmad Zahid memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Dr Mahathir memintanya membubarkan UMNO kerana parti itu tiada masa depan dan tidak boleh dipercayai.
Menurutnya, semasa pertemuan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Jun 2018 itu, Dr Mahathir juga memintanya memaklumkan kepada semua ahli UMNO supaya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atas nama Melayu.
Beliau menyatakan kepada Dr Mahathir bahawa kuburnya akan banjir keesokannya, jika beliau keluar daripada UMNO untuk menyertai parti Bersatu.
“Saya menolak (permintaan Dr Mahathir) untuk membubarkan UMNO. Saya katakan padanya (Dr Mahathir), ditakdirkan saya menyertai Bersatu selepas diberi kepercayaan menjalankan tugas sebagai Presiden, esoknya (apabila) saya mati, kubur saya akan banjir.’’ Kata Zahid.
Pada Isnin lalu, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendedahkan, Zahid mengumpul akuan bersumpah (SD) dalam kalangan ahli Parlimen UMNO untuk menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Langkah itu dilakukan ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin masih menjadi Perdana Menteri manakala UMNO merupakan antara anggota dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Leave a Reply