PELAKON, Datuk Hans Isaac yang bertanding jawatan Ketua PKR Cabang Ampang mendahului pencabar-pencabarnya yang lain dalam pemilihan semula cabang berkenaan semalam.
Memetik laporan Malaysiakini, keputusan tidak rasmi dalam laman sesawang pemilihan PKR menunjukkan Hans menerima 748 undi, manakala seorang lagi selebriti, Altimet hanya ketinggalan dua undi di belakang.
Sebelum pemilihan semula diadakan, Hans memperoleh undi kedua tertinggi di belakang Daing Muhammad Reduan Bachok.
Daing menerima 942 undi ketika itu, manakala Hans mendapat 609 undi dan Altimet, atau nama sebenarnya Syed Ahmad Abdul Rahman, di tempat ketiga dengan 589 undi.
Namun, berikutan dakwaan pelanggaran etika dalam pemilihan cabang berkenaan, jawatankuasa pemilihan pusat (JPP) PKR telah menubuhkan panel siasatan yang kemudiannya mendapati Daing terlibat dalam kegiatan ‘membeli undi’.
Pengerusi JPP PKR, Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata pemilihan semula itu perlu diadakan kerana kemenangan Daing adalah tidak sah.
Daing juga dilarang bertanding dalam pemilihan semula kali ini.
Hans, 51, menyertai PKR pada 2020 dan sebelum ini terdapat spekulasi bahawa pelakon itu akan bertanding di kawasan Parlimen Ampang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Altimet, 43, menyertai parti itu pada April tahun lalu, bersama rakan artis, Datuk Afdlin Shauki.
Pemilihan semula itu turut menyaksikan tiga lagi calon bertanding jawatan ketua PKR Cabang Ampang iaitu Abdullah Md Zain, Sam Hoo Wai, dan Abdul Latif Shaari, manakala seorang lagi calon Abdul Halim Mohamed Yusof menarik diri daripada bertanding.
Leave a Reply