SUAMI pengasas Dnars Skincare, Datuk Ahmad Shah Rizal Ibrahim mendakwa belum menerima panggilan dari pihak Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disoal siasat.
Menurutnya, laporan polis dan SPRM itu dibuat berhubung kematian isterinya Allahyarham Faziani Rohban Ahmad.
“Setakat ini tidak ada. Yang saya tahu ada dua laporan polis yang dibuat. Yang pertama pasal siasatan semula kes pembunuhan itu.
“Yang kedua pasal berkenaan dengan pertukaran saham syarikat dan juga laporan SPRM mengenai proses membawa masuk jenazah semasa hari kematian itu tidak disertakan dokumen-dokumen yang lengkap lah.
“Semua laporan itu saya belum menerima panggilan atau notis dari SPRM atau pihak Polis,” katanya dalam satu sidang media khas bagi menjawab pertuduhan yang disifatkan sebagai fitnah terhadapnya, lapor Astro Awani, hari ini.
Sebelum ini keluarga Allahyarham Faziani membuat laporan polis bagi menuntut siasatan lanjut ke atas kematian Allahyarham yang disyaki meragukan.
Dalam sidang media yang sama, Ahmad Shah Rizal memaklumkan telah mengemukakan tuntutan undang-undang terhadap beberapa pihak yang didakwa menfitnahnya.
Ahmad Shah Rizal menjelaskan tindakan undang-undang yang dibuat itu dilihat sebagai jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah sedia ada.
“Selama ini saya memilih untuk mendiamkan diri kerana saya asalnya berharap perkara ini dapat diselesaikan menerusi musyawarah keluarga.
“Saya menganggap perselisihan faham sebelum ini hanyalah bersifat sementara. Namun begitu, kemelut ini berlanjutan dan menjadi semakin teruk, hari berganti hari.
“Keadaan ini memang tidak disangka, dan saya amat terkilan dengan sikap sesetengah pihak seperti adanya udang di sebalik batu,” katanya lagi.
Tuntutan undang-undang itu dikemukakan terhadap sebuah portal yang memuat naik dua laporan berhubung kematian pengasas Dnars itu.
Kedua-dua laporan itu didakwa disiarkan pada 16 dan 17 Jun lalu di portal dan Facebook portal tersebut.
Selain itu, tuntutan undang-undang juga dikemukakan terhadap individu yang menulis komen dalam Facebook portal tersebut.
Allahyarham Faziani bersama suaminya, Ahmad Shah Rizal Ibrahim dalam perjalanan ke sebuah pondok pengajian agama di Selatan Thailand bagi menyumbangkan sumbangan pada bulan Ramadan, Mei 2019.
Bagaimana pun kenderaan pelbagai guna Toyota Estima yang dinaiki pasangan itu merempuh sebuah lori yang di parkir di sebatang jalan menyebabkan Faziani maut di tempat kejadian, manakala Ahmad Shah Rizal mengalami kecederaan.
Leave a Reply