Halang BN kembali berkuasa hanya mimpi jika…

ANALISIS

Oleh MUHAMMAD MUZAMMIL

PADA 2018, parti-parti pembangkang bergabung dalam satu pakatan untuk menentang BN dalam pertarungan satu lawan satu.

Walaupun berbeza parti dan pemimpinnya mempunyai sejarah permusuhan ‘yang cukup dahsyat’ tetapi atas dasar demi menyelamatkan negara berikutan kleptokrasi mereka sedia bekerjasama.

Pakatan Harapan memimpin negara selama 22 bulan tetapi tindak tanduk DAP sepanjang kerajaan didakwa menjadi punca kerajaan tersebut tidak dapat bertahan

Akhirnya ia tumbang selepas Tun Mahathir Mohamad membuat kejutan meletakkan jawatan, sebelum Muhyiddin Yassin mewujudkan kerjasama dengan parti-parti lain termasuk UMNO menubuhkan kerajaan PN.

Bagaimanapun Muhyiddin tidak dapat bertahan sebagai PM apabila golongan kluster mahkamah melaksanakan agenda mereka untuk menyingkirkan Muhyiddin sebagai PM.

Atas sokongan Muhyiddin dan PN, Ismail Sabri  Yaakob daripada UMNO menjadi PM.

Tetapi sekarang kedudukan Ismail Sabri pun dalam bahaya apabila kelompok kluster mahkamah mula melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas Perdana Menteri. Mereka mendesak Ismail Sabri untuk membubarkan Parlimen.

Kenapa mereka membuat desakan tersebut? Apakah atas nama kestabilan dan mengembalikan mandat kepada rakyat? Tidak! Ia hakikatnya demi kepentingan politik pemimpin UMNO dan BN semata-mata.

Mereka bimbang jika PRU tidak diadakan sekarang, ia boleh mendatangkan bahaya kepada UMNO dan BN. Kenapa? Sebab mereka begitu yakin parti-parti lawan sedang berada dalam keadaan lemah dan bercakaran. Pada masa sama rakyat pula berada dalam ‘mood’ malas melayan kerenah politik.

Apabila itu berlaku peratusan keluar mengundi rendah dan ia akan memberi kelebihan kepada BN apatah lagi jika parti-parti lawan tidak mencapai kesepakatan untuk mewujudkan pertarungan satu lawan satu dalam PRU-15.

Semua parti itu tahu jika wujud pertembungan banyak penjuru ia akan memberi kelebihan kepada BN dan apabila itu terjadi pemimpin-pemimpin kluster mahkamah akan kembali berkuasa.

Apa yang anehnya, kesemua parti berkenaan menyedari bahaya tersebut dan berdegar-degar bercakap soal kleptokrasi tetapi apabila ada formula yang boleh menghalang ia berlaku, masing-masing dengan angkuh menolak cadangan Muhyiddin Yassin berhubung perkara itu

Masing-masing ego, angkuh dan mendabik dada seolah-olah pakatan atau gabungan mereka boleh menumbangkan BN dengan teori yang entah apa-apa, tetapi realiti politik dan apa yang berlaku di Melaka dan Johor sudah membuktikan, BN bukanlah parti yang kuat.

Malah dakwaan bahawa rakyat kembali menyokong BN demi mewujudkan kestabilan dan kemakmuran dengan menjadikan dua PRN di negeri berkenaan sebagai sandaran adalah kenyataan yang tidak berpijak di bumi nyata.

BN menang bukan kerana mereka kuat, BN menang bukan kerana rakyat menerima pemimpin-pemimpin yang ada masalah integriti tetapi BN menang kerana rakyat sudah kehilangan minat untuk keluar mengundi dan faktor paling utama, parti-parti lawan berpecah belah.

Penulis percaya, parti-parti itu tahu fakta ini. Ia bukannya rekaan tetapi itulah realiti tanpa pertembungan satu lawan satu dengan BN, lupakan sahaja hasrat untuk menumbangkan parti tersebut.

Oleh itu jika mereka benar-benar tidak mahu kleptokrasi kembali berkuasa dan Malaysia terus ‘dipenuhi’ dengan pemimpin yang mempunyai masalah integriti, usaha perlu dicari bagi mencapai kesepakatan.

Pendedahan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Rahman bahawa wujud pakatan sulit antara pemimpin UMNO dan PKR untuk menumbangkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, ia membuktikan dalam politik segala berkemungkinan.

Justeru tidak perlu mana-mana parti begitu angkuh menolak parti itu dan parti ini dengan pelbagai alasan. Cari titik persefahaman bukanlah dengan tujuan untuk bergabung sebaliknya mewujudkan kerjasama bagi mengelakkan BN tidak terus mendabik dada kononnya rakyat sudah kembali menyokong mereka, biarpun mereka ada masalah integriti.

Kalau itu tidak mahu dilakukan, lupa sahaja soal mahu mengalahkan BN dalam PRU-15, bak kata seorang ‘’lebih baik tak payah masuk bertanding…bagi sahaja BN memerintah’’.

Seperkara lagi, kalau kerjasama itu tidak dapat diwujudkan disebabkan keangkuhan dan retorik atas nama prinsip, hentikan sahaja berdegar-degar bercakap soal menentang rasuah dan pemimpin kleptokrasi. 

Semua itu hanya omong kosong disebabkan sudah ada peluang menghalangnya, ia disia-siakan disebabkan keangkuhan dan keegoan.

*Penulis adalah Penganalisis Politik dan Ekonomi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *