Zahid Hamidi membisu, enggan komen kenyataan Tajuddin

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi enggan memberi sebarang komen berhubung dakwaan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Petugas media yang menghampiri beliau meminta komen bekas Timbalan Perdana Menteri itu di lobi Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, sebaik tiba pukul 11.15 pagi tadi.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu hanya tersenyum kepada pihak media sebelum berlalu pergi, lapor Berita Harian.

Beliau hadir ke mahkamah pagi tadi bagi membela diri terhadap tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Pada pukul 12.45 tengah hari, pihak media dimaklumkan Ahmad Zahid sedang berehat dan menunggu sekali lagi di lobi bagi mendapatkan komen beliau.

Bagaimanapun, seorang daripada pegawai beliau memaklumkan kepada pihak media yang Ahmad Zahid enggan memberi sebarang komen lagi setakat ini.

Dijangka prosiding Ahmad Zahid tamat pukul 4 petang ini.

Semalam, Tajuddin mendakwa Ahmad Zahid tidak layak memimpin parti dan perlu undur diri secara terhormat.

Beliau yang digugurkan daripada jawatan itu Selasa lalu menerusi satu surat mendakwa segala keputusan mesyuarat MKT UMNO selama ini bukan kehendak ahli MKT, sebaliknya adalah kehendak Ahmad Zahid sendiri.

Selain itu, Ahli Parlimen Pasir Salak berkenaan turut mendedahkan wujud memorandum untuk meminta Ahmad Zahid melepaskan jawatan presiden parti.

Katanya, memorandum itu susulan pertemuan diketuai Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Mei 2020.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *