Semakan kes Batu Puteh: Tun M pertikai, enggan bekerjasama selagi Apandi kekal pengerusi

TUN Dr. Mahathir Mohamad mempertikaikan kedudukan Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kecil Tort of Misfeasance yang dianggapnya tidak wajar dilantik memegang jawatan itu.

Protes dan rasa tidak puas hati bekas Perdana Menteri itu ditunjukkan semasa negarawan tersebut hadir dalam sesi temu bual di Jabatan Peguam Negara (JPN) di Kuala Lumpur hari ini tetapi beliau segera meninggalkan malis tersebut.

Sesi tersebut tidak berlangsung seperti dirancang apabila menyaksikan Dr. Mahathir yang tiba pukul 11.40 pagi keluar meninggalkan perkarangan JPN dalam tempoh tidak sampai 15 minit.

Jawatankuasa itu dibentuk bagi membuat semakan semula undang-undang kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Ketika ditemui media, Dr. Mahathir berkata beliau tegas dengan pendirian untuk tidak akan memberikan sebarang kerjasama sehingga Mohamed Apandi diganti.

“Apandi adalah individu yang terlibat dalam kes ini dan dia tidak patut dilantik sebagai pengerusi.

“Dia sepatutnya lebih layak menjadi saksi tetapi telah dilantik sebagai pengerusi. Ia adalah sesuatu yang mengarut,” katanya memetik laporan Astro Awani.

Jelasnya, surat untuk memohon penukaran kedudukan Apandi sebelum ini telahpun dihantar namun katanya tiada sebarang jawapan.

Perkara itu menurutnya penting kerana kedudukan Apandi pada kerusi tersebut lebih cenderung menimbulkan konflik kepentingan tertentu.

Dalam masa yang sama katanya, siapa sahaja layak untuk dilantik menggantikan Apandi selagi ia mampu memberikan ketelusan dan jaminan keadilan.

Kebelakangan ini pelbagai pihak tampil menempelak kenyataan yang dibuat oleh Dr. Mahathir yang mendakwa kehilangan Batu Puteh adalah atas kesilapan kerajaan negeri Johor sendiri.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *