Rumah disewa Ebit Lew terbakar, kecekapan bomba bantu selamatkan 11 nyawa

Oleh RIZQI ZABIDI

KECEKAPAN dan kepantasan pihak bomba melaksanakan kerja-kerja menyelamat berjaya menyelamatkan nyawa 11 penghuni dalam kebakaran melibatkan dua buah rumah termasuk salah satunya merupakan rumah yang disewa pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew untuk sebuah keluarga asnaf di Taman Sri Taman 2 dekat Alor Setar, petang tadi.

Menurut Timbalan Pengarah JBPM Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Syufaat Kamaron, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu menerusi talian kecemasan 999 dan tiba ke lokasi kira-kira lima minit kemudian.

Menurutnya dalam rumah pertama iaitu rumah yang disewa Ebit untuk keluarga berkenaan, kalangan anggotanya bertindak pantas menyelamatkan sembilan mangsa terdiri daripada tiga perempuan dan enam kanak-kanak.

“Di rumah yang 95 peratus terbakar itu, kami turut berdepan cabaran untuk menyelamatkan mangsa terakhir yang merupakan seorang wanita dewasa apabila dia cuba menyelamatkan diri dengan duduk di bilik air.

“Dalam keadaan api marak, kami terpaksa memecahkan cermin kecil di tandas tersebut bagi membawanya keluar. Alhamdulillah, kesemua mereka berjaya diselamatkan,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, di rumah kedua yang terbakar itu juga terdapat sembilan individu di dalamnya.

“Tujuh mangsa dapat melarikan diri lebih awal namun dua mangsa masih terperangkap apabila kami tiba. Pihak kami kemudiannya bertindak masuk ke rumah tersebut bagi membawa mereka keluar,” katanya.

Tambahnya, berikutan kejadian itu beberapa mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi mendapatkan rawatan.

“Seorang bayi berusia setahun yang turut diselamatkan dalam salah sebuah rumah tersebut, ditempatkan di zon merah hospital berkenaan,” katanya


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *