Oleh AHMAD MUZAMMIL
Terbongkar semua.
Kita faham macam mana mulut Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman apabila beliau memberi reaksi kepada isu semasa.
Dahulu kita macam percaya dan tidak, tapi setelah dipecat daripada jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO barulah semua terlondeh dikerjakan oleh Tajuddin, yang juga Duta Besar Malaysia ke Indonesia.
Tidak ramai yang macam Tajuddin dalam MKT.
Semuanya mengangguk walaupun ada yang tidak setuju.
Jelas semua keputusan dibuat atas desakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid selalu berkata, saya bertindak atas keputusan MKT.
Memang betul. Tetapi, kata Tajuddin , ia dibuat atas desakan presiden.
Rupanya Tajuddin juga menandatangani akuan berkanun (SD) menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Kemudian beritahu Perhimpunan Agung UMNO (PAU) bahawa parti Melayu itu menolak DAP, PKR dan Bersatu. Naik semangat para perwakilan.
Semua pihak yang namanya disebut menafikan. Alih-alih semuanya betul.
Rakyat nak percaya yang mana satu? Ahli UMNO nak percaya pemimpin mana?
Pendedahan Tajuddin itu juga disahkan oleh Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin semalam yang Anwar sanggup bekerjasama dengan Zahid, Datuk Seri Najib Razak dan kumpulan kluster mahkamah UMNO semata-mata untuk menjadi perdana menteri.
Walaupun kerjasama itu tetap gagal untuk menjadikan Anwar sebagai perdana menteri, terbukti Presiden PKR itu mempunyai sejarah bekerjasama dengan kluster mahkamah UMNO.
Dan kita menjadi tertanya-tanya apakah janji yang ditaburkan kepada Zahid dan Najib sehingga mereka sanggup menyokong Anwar.
Dalam satu laporan media pada Isnin, Anwar berkata desakan untuk membubarkan Parlimen supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dapat diadakan lebih awal adalah tindakan terdesak beberapa pemimpin UMNO untuk melepaskan diri masing-masing daripada kes mahkamah yang sedang dihadapi mereka.
“Sebab apa Parlimen nak bubar? Sebab kluster mahkamah nak settle (selesaikan) kes dia.
“Ingat kalau dia menang PRU, dia boleh tutup kes. Jadi, rasional bubar itu kita pertikaikan,” katanya kepada pemberita.
Mungkin Anwar sudah insaf.
Disebabkan Anwar juga kini kelihatan seperti menentang kluster mahkamah UMNO, tiada alasan lagi untuk PKR bekerjasama dengan parti-parti di luar Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan kluster mahkamah tidak kembali berkuasa.
Jika mahu ungkit peristiwa silam, ramai juga yang boleh mengungkit bagaimana Anwar sanggup bekerjasama dengan pengkhianat kepada rakyat Malaysia seperti Najib yang sudah dibuktikan bersalah oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dalam kes SRC International.
Jangan terus berlegar dengan permainan istilah politik yang tidak berkesudahan.
Pengkhianatan berlaku pada semua peringkat kehidupan.
Tambah lagi dalam politik. Bukan kita menghalalkan kemungkaran, tetapi dalam situasi tertentu ia untuk menyelamatkan keadaan.
Tidak perlu kita menjadi konsultan politik untuk PKR kerana sebab parti itu sudah matang dalam menghadapi senario politik sekarang.
Tetapi dalam situasi sekarang PKR perlu juga berkongsi penyelesaian dengan parti dan pemimpin lain.
Rakyat sedang memerhati perkembangan yang berlaku di sekeliling mereka.
Anwar tidak sepatutnya mengulangi sejarah PH.
Terlalu cepat berjanji tetapi kemudian jadi cemuhan rakyat.
Kalau pemimpin PKR itu memang serius melawan rasuah, segerakan pertemuan dengan parti-parti selain Barisan Nasional (BN) bagi membincangkan kemungkinan diadakan persefahaman pilihan raya.
Takkan rakyat tidak tahu menilai.
Tetapi jika agenda perang rasuah hanya kempen politik beliau, bingung rakyat membuat analogi.
Masa untuk PRU-15 semakin hampir di sebalik teka-teki semua pihak.
Ia menjadi cakap kedai kopi paling “viral”.
Selepas Tajuddin siapa lagi yang akan menerima nasib sama digugurkan daripada jawatan UMNO. Senarainya sudah pun disebarkan.
Jika Anwar betul-betul bertanggungjawab, dia sepatutnya mengumumkan segera siapa rakan PKR menghadapi PRU-15. Jangan bermain politik terlalu lama.
Rakyat semakin terhimpit dengan masalah ekonomi.
Eloklah Anwar menjadi antara penyelamat bangsa dan negara. Itu pun yang selalu diperkatakan insan bernama Anwar Ibrahim.
Penulis ialah penganalis politik semasa. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian WartaRakyat.
Leave a Reply