PEMBONCENG wanita yang cedera akibat ditimpa buah kelapa yang gugur di Jalan Teluk Kumbar, Bayan Lepas, Pulau Pinang petang semalam sedang mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz, beliau sudah menghubungi anak kepada mangsa yang berusia 50-an itu yang memaklumkan bahawa ibunya cedera akibat insiden itu.
“Mangsa dikenali sebagai Puan Anita sedang dirawat di HPP dan saya ada menghubungi anaknya bertanya khabar mengenai perkembangan mangsa. Perkara ini memang tidak diduga dan kita amat bersimpati.
“Jadi untuk mengelakkan kejadian sebegini berulang, kita jalankan kerja menebang 11 pokok kelapa bermula 2 petang tadi di samping meneliti pokok berisiko lain di sepanjang jalan,” katanya, mengikut laporan Berita Harian.
Azrul yang melakukan tinjauan di lokasi kejadian bersama pegawai landskap Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berkata, operasi penebangan pokok akan dilakukan menggunakan jentera angkat atau skylift yang dijangka selesai sebelum pukul 5 petang ini.
Terdahulu, anak kepada mangsa yang dikenali sebagai Yaya Ghani menerusi hantaran di Facebook menyatakan keadaan ibunya agak parah selepas terjatuh dari motosikal yang ditunggang adiknya.
“Ya, (wanita) yang berlari ke arah mangsa ialah adik perempuan saya. Alhamdulillah mama sedar dan masih berada di HPP.
“Keadaan mama agak parah dan patah tulang bahu kanan, patah tangan kiri selain cedera tulang rusuk.
“Keadaan adik perempuan baik saja cuma masih trauma. Saya mohon semua agar semua doakan kesembuhan mama saya,” menurut tulisan yang dikongsinya itu.
Seorang peniaga durian, yang juga saksi kejadian, Md. Ghazali Shahari, 62, berkata ketika kejadian 3.30 petang, dia sedang melayan pelanggan di gerainya sebelum terdengar jeritan kuat.
Dia melihat mangsa dan topi keledar yang dipakainya jatuh tergolek di jalan raya.
“Jalan agak sibuk ketika itu dan saya dibantu beberapa orang lagi segera menahan kenderaan yang lalu-lalang. Selepas itu saya terus menghubungi ambulans dan meminta supaya mangsa tidak dialihkan sebelum petugas kesihatan tiba kerana kita tidak tahu bahagian badan mana yang cedera,” katanya.
Pesara kerajaan itu berkata, kejadian buah kelapa luruh di jalan sudah banyak kali berlaku namun ini kali pertama membabitkan kemalangan sehingga mengancam nyawa.
“Selalunya ia jatuh di tempat yang tiada orang dan pernah juga menimpa kenderaan dan bumbung gerai saya. Tetapi tiada kerosakan yang teruk dan sudah ada sebatang pokok kelapa berdekatan gerai ditebang sebelum ini,” katanya.
Leave a Reply